Skip to main
Logo Malaysiakini

Skandal LCS: Mengapa SPRM masih belum bertindak? - Kit Siang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertindak terhadap mana-mana individu dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) walaupun bukti telah dikemukakan dalam laporan forensik sejak dua tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menuntut penjelasan daripada SPRM kerana tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Saya masih menunggu mengapa SPRM, selepas 10 tahun, masih gagal untuk membawa apa-apa pertuduhan terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

"Namun, saya terkejut apabila membaca laporan audit forensik perolehan LCS ini yang disediakan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd dan dihantar pada Julai 2020.

"Perkara ini menyebabkan Malaysia berada dalam kategori “D” dalam Indeks Integriti Pertahanan (GDI) terbitan Transparency International, untuk negara berisiko tinggi berlaku rasuah dalam perolehan ketenteraan.

"SPRM perlu menjelaskan, mengapa mereka belum bertindak terhadap sesiapa pun walaupun telah diberikan bukti-bukti ini dalam dua tahun yang lepas," katanya.

‘Apa guna ada lima jawatan kuasa bebas?’

.Laporan audit forensik setebal 104 muka surat itu, yang disiapkan pada Julai 2020 dan dinyahrahsia pada 22 Ogos, mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad dan isterinya Zainab Mohd Salleh dengan sebuah syarikat di sebalik transaksi yang mencurigakan bagi perjanjian LCS.

Ia adalah yang kedua daripada dua laporan audit yang diarahkan oleh kabinet untuk didedahkan pada 10 Ogos.

"Saya memerhatikan ketiga-tiga pertuduhan rasuah terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, tidak mempunyai kaitan dengan skandal LCS, memandangkan pertuduhan ini adalah untuk perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak LCS yang bernilai RM9 billion yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

"Memandangkan ketiga-tiga pertuduhan ini berkaitan dengan perkara yang terdahulu sebelum kontrak perolehan LCS, perkara ini bermakna, pertuduhan ini berkaitan dengan skandal perolehan yang lain.

"Apakah gunanya mempunyai lima jawatankuasa “bebas” untuk meneliti SPRM – apabila SPRM boleh membuat kesilapan besar sebegini dengan tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal LCS selepas sedekad.

Lima jawatankuasa yang dimaksudkan Lim ialah Lembaga Penasihat Anti-Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah

"Saya gusar melihat terlalu banyak keserupaan di antara skandal 1MDB dengan skandal LCS, dan saya katakan yang laporan audit forensik skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion ini adalah satu “bacaan wajib” untuk setiap rakyat Malaysia yang mahu tahu mengenai perkara terkini yang terjadi di Malaysia," katanya.

Pada 22 Ogos lalu, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak mempunyai kelayakan.

Rafizi berkata Latiff, yang kini bersama Bersatu, pada masa itu adalah timbalan menteri pertahanan dari Umno, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian itu.