Skip to main
Logo Malaysiakini

Abdul Latiff sekali lagi tegaskan Zainab Mohd Salleh bukan isterinya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad sekali lagi menegaskan wanita yang dikaitkan dengan projek kapal tempur pesisir (LCS) bukan isterinya.

Latiff sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Zainab Mohd Salleh, yang dikaitkan dengan syarikat palsu, Alizes Marine Limited ialah isteri keduanya.

"Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh.

"Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

"Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)...saya suka makan ikan...tapi bukan ikan jerung,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran yang sama bekas timbalan menteri pertahanan itu juga berpantun:

Siakap senohong gelama ikan duri,

Cakap bohong lama-lama jadi pencuri,

Siakap senohong gelama ikan jerung,

Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.

Timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli pada 22 Ogos lalu mendakwa Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan projek LCS, dan menamakannya sebagai isteri kedua Abdul Latiff.

Menurut Rafizi, sebuah syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama oleh Abdul Latiff dan Zainab pada Ogos 2015 memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit.

Dia juga mendakwa Abdul Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak mempunyai kelayakan.

Walaupun Abdul Latif kemudian menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya, Rafizi berkata penafian menteri berkenaan merujuk kepada individu lain.

Rafizi juga mendakwa sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) adalah untuk membekalkan alat ganti bagi kapal LCS.

Rafizi juga semalam mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat ganti kapal itu digunakan untuk "barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa".

Bekas ahli parlimen Pandan itu pada masa sama, menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri memecat Abdul Latiff daripada Kabinet.

Dia juga menggesa Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri mengenai calon yang layak menggantikan Latiff.

Untuk rekod, Abdul Latiff merupakan anggota Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Ketika bersama Umno, dia pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.