Skip to main
Logo Malaysiakini

Arul Kanda: Saya tak tahu jika hakim kes SRC terlibat pinjaman 1MDB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Arul Kanda Kandasamy berkata dia tidak tahu sama ada hakim perbicaraan kes SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali terlibat dalam pinjaman sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB.

Bekas CEO 1MDB itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan audit 1MDB terhadapnya dan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang juga bekas menteri kewangan.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjadikan Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib.

Bagaimanapun, mahkamah hanya boleh memutuskan pada akhir kes pendakwaan sama ada mahu membebaskan Arul Kanda atau sebaliknya.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan, Shafee bertanyakan beberapa soalan kepada Arul mengenai pinjaman Maybank sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB, ketika Nazlan menjadi peguam am dengan bank komersial itu.

Soalan peguam itu adalah berhubung keterangan Arul Kanda di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2015 berhubung hal ehwal kewangan 1MDB, termasuk pinjaman yang diambil daripada bank berkenaaan.

Arul Kanda menjawab berhubung pinjaman yang diambil 1MDB daripada Maybank, dia berurusan dengan beberapa pegawai bank seperti Michaal Oh-Lau.

Apabila Shafee bertanya sama ada pegawai bank ini memerlukan kelulusan daripada pihak atasan mereka untuk kelulusan pinjaman, Arul Kanda bersetuju.

Shafee: Siapakah peguam am bagi kumpulan (Maybank) itu?

Arul Kanda: Saya rasa itu Nazlan, tetapi saya tidak pernah berhubung langsung dengannya atau berjumpa dengannya.

Shafee: Adakah Mohd Nazlan Mohd Ghazali?

Arul Kanda: Ya.

Shafee: Bolehkah saya cadangkan supaya pinjaman sebesar ini mesti mendapat kelulusan daripada pihak undang-undang (bank)?

Arul Kanda: Saya rasa begitu.

Nazlan ialah hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta daripada SRC, bekas anak syarikat 1MDB pada Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu tiga hari lalu.

Najib juga sebelum ini mengemukakan permohonan untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC atas alasan Nazlan - yang dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan - mempunyai konflik kepentingan kerana tugasnya dengan Maybank sebelum ini.

Semasa pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram hari ini, Arul Kanda menegaskan dia tidak benar-benar tahu apakah Nazlan terlibat dalam kelulusan pinjaman kepada 1MDB.

Sri Ram: Dicadangkan kepada anda bahawa Nazlan terlibat dalam perkara ini (pinjaman kepada 1MDB)?

Arul: Ya (setuju bahawa usul itu dikemukakan kepadanya oleh pasukan pembelaan Najib).

Sri Ram: Adakah anda mempunyai pengetahuan peribadi mengenai ini?

Arul Kanda: Tidak.

Prosiding di hadapan Zaini akan disambung semula pada 2 Sept.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah susulan mesyuarat pada 24 Feb 2016, keputusan dibuat untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang dikatakan bercanggah.

Selain Arul Kanda, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas setiausaha sulit Najib Shukry Salleh, dan Wakil Jabatan Peguam Negara pada masa itu, Dzulkifli Ahmad.