Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak seperti Najib, Anwar tak curi duit rakyat, kata Wan Azizah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dr Wan Azizah Wan Ismail membangkitkan perbezaan antara kes mahkamah yang sebelum ini dihadapi suaminya, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Wan Azizah berkata, perbezaan asas adalah kes Najib melibatkan wang rakyat dan ada dokumen untuk membuktikan penyelewengan yang berlaku.

"Ini melibatkan wang rakyat dan negara kini menanggung hutang. Ini belum termasuk kes 1MDB, yang juga (berlaku) di Amerika Syarikat. Juga ada rakaman audio Najib tetapi tiada (rakaman audio) Anwar," katanya kepada pemberita di sebuah acara di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, ketika Anwar dijatuhkan hukuman, mahkamah tidak mengambil kira jumlah hari dia di dalam tahanan.

Bendahari PKR William Leong pula berkata, Najib tidak menjalani hukuman penjara sehinggalah rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan di Mahkamah Persekutuan gagal.

"Anwar dalam penjara sejak hari pertama, sebelum kes mahkamah bermula," katanya lagi.

Wan Azizah pula sempat mencelah: Malah ada pengawal peribadi. Itu perbezaannya."

Lapan belas hari selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri pada September 1998, presiden PKR itu ditahan di kediamannya.

Dia kemudian didakwa dan disabitkan bersalah. Namun dia menegaskan pertuduhan liwat terhadapnya direka oleh Mahathir dan sekutunya.

Insiden mata lebam

Mengimbas kembali episod itu, Wan Azizah berkata ketua polis negara pada masa itu, Rahim Noor telah memukul suaminya selepas ditahan.

Bagi mengelakkan Anwar dibawa ke mahkamah dalam keadaan cedera, katanya lagi, pihak berkuasa menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan mana-mana individu ditahan tanpa bicara.

"Selepas direman, anda perlu dibawa ke mahkamah, Tapi sebab matanya lebam, dia tak dibawa ke mahkamah. Jadi mereka tukar kepada ISA," katanya lagi.

Anwar dihukum penjara buat kali kedua atas pertuduhan yang sama ketika Najib mentadbir negara. Dia juga mendakwa pertuduhan itu sebagai rekaan.

Anwar diberikan pengampunan diraja selepas PH menumbangkan Najib dan BN dalam PRU 2018.

Kini penyokong Najib pula menggesa dia diberi pengampunan yang sama.

Ditanya berkenaan soal itu, Wan Azizah berkata ia di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tak ingin sentuh perkara ini. Tapi dia ada kes lain. Dia telah dihukum penjara 12 tahun (dalam kes SRC) tapi kes lain masih berjalan," katanya lagi.


Perhatian kini beralih pada kes lain melibatkan Najib, ahli politik lain


Dalam pada itu, Wan Azizah menggesa orang ramai agar tidak berputus asa terhadap perubahan selepas kerajaan PH tumbang hanya selepas 22 bulan mentadbir negara.

"Kita tak mahu orang kata 'kita tukar pada 2018, kita sudah penat, apa saja yang kita buat, tidak akan ada perubahan kerana khianat'.

"Tetapi inilah sebabnya kita perlukan perubahan. Kita perlu bangkit lebih kuat dan tukar mereka yang khianati kita. Jangan rasa putus asa. Ini negara kita," katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib berhubung dana RM42 juta SRC International yang dipindahkan ke akaunnya.

Hukuman penjara akan ditambah selama lima tahun lagi jika dia gagal menjelaskan denda itu.