Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sediakah Hishammuddin kemuka laporan perkembangan LCS?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan adakah Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bersedia untuk mengemukakan laporan pertamanya mengenai perkembangan skandal kapal tempur pesisir (LCS) RM9 bilion kepada Parlimen pada Oktober ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyorot bahawa Hishammuddin sebelum ini berkata dia akan melaporkan jadual dan perkembangan projek pembinaan LCS secara berperingkat.

Lim menambah bahawa Hishamuddin telah diberi tempoh enam bulan oleh Kabinet pada April untuk menggerakkan usaha memulihkan projek itu - dan tempoh enam bulan tamat menjelang Oktober.

"Adakah Hishammuddin bersedia mengemukakan laporan pertamanya pada hari pertama Parlimen pada 3 Oktober?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Negara awal bulan ini, Hishammuddin berkata kerajaan akan melaporkan jadual dan perkembangan projek perolehan LCS secara berperingkat.

Dia berkata kementeriannya diberi tempoh enam bulan untuk menggerakkan usaha memulihkan projek itu, dan dia percaya kapal pertama akan dihantar kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dalam tempoh dua tahun.

“Kita akan lihat bagaimana kita boleh memastikan kapal yang dijanjikan dihantar kepada tentera laut dan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

“Saya akan melaporkan (maklumkan) kepada orang ramai jadual berperingkat untuk pembinaan kapal itu,” katanya.

Lim turut menggesa Hishammuddin menjelaskan kepada Parlimen mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan daripada dua LCS kepada satu LCS yang mesti disiapkan dan dihantar oleh kontraktor tanpa dana tambahan kerajaan.

"Apabila Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 Januari 2022, dia bercakap mengenai 'penstrukturan semula korporat' kontrak LCS RM9 bilion dan bahawa kontraktor Boustead Naval Shipyard perlu menghantar dua LCS tanpa sebarang kos baru kepada kerajaan.

"Hishammuddin juga harus menjelaskan kepada Parlimen mengapa dia tidak dapat meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung skandal LCS RM9 bilion," katanya.

Sementara itu, Lim juga bersetuju dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa bukan di luar kelaziman untuk menetapkan hari pembentangan belanjawan di Parlimen pada awal Oktober, kerana pada zaman Perdana Menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi, hari pembentangan belanjawan di parlimen sentiasa dibuat pada bulan September, seperti di bawah:

10 September 2004.

30 September 2005.

7 September 2006.

1 September 2007.

7 September 2008.

Malah, pemimpin veteran DAP itu berkata semasa penggal terakhir jawatan perdana menteri pertama Dr Mahathir Mohamad dari 2000 hingga 2003, hari belanjawan di parlimen semuanya diadakan pada September.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaarfar mengesahkan parlimen akan disambung semula pada 3 Oktober dan perubahan dalam kalendar parlimen tidak ada kaitan dengan mengadakan pilihan raya umum awal.