Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA: Gesaan PAS larang konsert ancam perpaduan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MCA menyifatkan gesaan PAS untuk melarang semua konsert antarabangsa diadakan di Malaysia sebagai ancaman kepada perpaduan negara.

Jurucakap MCA Saw Yee Fung berkata rakyat mesti menolak kumpulan atau individu yang berhasrat untuk menyelubungi negara dengan permusuhan kaum.

“Memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, berbilang bahasa dan agama, budaya yang berbeza sentiasa wujud bersama secara aman. Setiap orang boleh memilih untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang mematuhi budaya atau ajaran dan amalan agama sendiri.

“Mencari titik temu sambil menghormati perbezaan antara satu sama lain adalah ciri saling menghormati dan petanda baik untuk hubungan dan wacana antara agama dan antara etnik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saw menegaskan bahawa adalah perkara biasa bagi orang ramai untuk menikmati muzik untuk mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan di luar kerja.

"Selagi orang ramai tidak mengamalkan gaya hidup dekaden atau hedonistik dan mengekalkan disiplin diri, konsert tidak seharusnya menjadi isu," tambahnya.

Kenyataan itu hadir selepas Pemuda PAS mengkritik penganjuran konsert di Malaysia, yang didakwanya berlaku "berulang kali", sambil menambah bahawa ia akan menimbulkan kemurkaan Allah.

Ia berkata demikian tidak sampai 24 jam selepas penyanyi antarabangsa Billie Eilish membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 Ogos.

Saw berkata MCA berpandangan bahawa rakyat Malaysia tidak berkongsi "pandangan ekstremis" sebegitu.

“Menjelang Merdeka, kita mesti mengingati dan menghargai semangat pengasas yang dicontohi oleh bapa pengasas kita yang bercita-cita untuk membina masyarakat inklusif, harmoni dan berbilang kaum yang penuh dengan kesederhanaan.

“Walaupun menghasut emosi, menimbulkan isu perkauman adalah muslihat politik yang paling langsung dan paling murah, nilai demokrasi negara kita, kepelbagaian dan semangat muhibah dalam komuniti kita akan menarik kita untuk mengatasi sebarang cabaran yang ditimbulkan oleh pelampau,” tambahnya.

Pemuda PAS sebelum ini memberi amaran bahawa ia akan menggerakkan "protes seluruh negara" jika kerajaan terus memberikan kebenaran untuk penganjuran konsert.

Di manakah bantahan terhadap masalah sebenar?

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii berkata hasrat PAS mengadakan protes adalah ancaman kepada masyarakat berbilang budaya dan majmuk di negara ini.

“Penegasan PAS terhadap konsert di tengah-tengah kemungkinan kelembapan ekonomi dan rasuah yang berleluasa di Malaysia menunjukkan bagaimana ia keliru dengan keutamaannya dan tiada apa yang membina untuk ditawarkan kepada masalah harian rakyat.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, apa yang PAS mampu tawarkan untuk menangani masalah rakyat nampaknya adalah untuk membantah konsert di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mempersoalkan jika benar artis antarabangsa yang membuat persembahan di sini adalah punca keruntuhan akhlak pemimpin yang berkuasa sehingga menyebabkan berbilion-bilion dicuri seperti kes 1MDB, projek kapal tempur pesisir (LCS), Tabung Haji dan Yayasan Akalbudi.

Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii

"Mengapa tidak ada bantahan di seluruh negara untuk semua perkara yang lebih serius ini terutamanya terhadap rasuah terang-terangan, tadbir urus yang buruk, ketidaksamaan, diskriminasi, dan undang-undang yang menindas yang mendatangkan kerosakan sebenar kepada negara kita dan rakyatnya?" soal Yii.

“Semua retorik yang memecahbelahkan ini hanyalah sebagai tabir untuk menutup ketidakcekapan pemimpin mereka dalam kerajaan dalam menangani isu sebenar yang menjejaskan semua rakyat Malaysia serta sikap berdiam diri dan memekakkan telinga terhadap rakan mereka sendiri dalam kerajaan yang terlibat dalam rasuah besar dan kleptokrasi.

“Inilah sebabnya tidak sepatutnya ada tempat untuk PAS dalam memgang jawatan. Kerajaan inilah yang akan dibawa oleh PAS, jadi undilah dengan bijak pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Artis antarabangsa yang bakal mengadakan konsert di Malaysia tidak lama lagi termasuk Justin Bieber, Blackpink dan Dewa 19.