Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: PN belum putuskan gerak solo atau gabung parti lain

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional, yang terdiri daripada gabungan lima parti politik masih belum memuktamadkan sama ada ia akan bergabung dengan mana-mana parti dalam pilihan raya umum ke-15 ataupun bergerak solo.

Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu terbuka untuk membuka pintu rundingan bersama parti lain yang ingin menentang BN, sebagai musuh utama mereka.

“Selepas PRN Johor, ada beberapa pihak daripada parti lain kata mereka nak berjumpa, tapi itu yang lepas

“Mungkin mereka rasa PRU masih jauh lagi..jadi dia biarkan begitu. Tapi kalau sekarang mereka fikir PRU sudah dekat, apakah mereka akan datang balik, nak bincang balik, kita (PN) terbuka sebab kita tahu musuh utama kita adalah BN.

“Pasal ini kebobrokan BN, salahguna kuasa, rasuah yang tak habis-habis tak sudah-sudah, yang tak baik untuk negara,” katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungannya di Konvensyen Perikatan Nasional di Maeps, Serdang hari ini.

Ketika diminta mengesahkan sama ada PN akan mengadakan gabungan dengan BN seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari dalam ucapannya, Muhyiddin berkata terdapat banyak kemungkinan yang boleh berlaku berdasarkan keadaan semasa politik sedia ada.

Ahmad Fadhli dalam ucapannya itu menggesa supaya PN melaksanakan strategi baru “satu lawan satu” dalam PRU akan datang.

“Saya susah nak kata dia macam-macam istilah ‘if and if’. Dalam BM ‘kalau, kalau, kalau'. Saya tak kata we ruled out atau we welcome (bergabung). Saya tak tahu lagi.

“Pasal dalam keadaan yang tak begitu menentu, situasi dinamik, pergolakan dan perpecahan yang berlaku dalam Umno, saya tak nak sebutkan,” kata Muhyiddin.