MP Klang: Zahid kempen bebaskan Najib untuk kepentingan sendiri
Presiden Umno Zahid Hamidi yang dilihat secara penuh emosi membelas bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjara hanyalah percubaan untuk menyelamatkan dirinya sendiri, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Semalam, Zahid menghimpunkan ahli Umno untuk menyokong petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Berucap pada taklimat khas untuk ahli Umno itu, Zahid juga telah mengumumkan bahawa catatan Facebook Najib akan disiarkan sebagai senjata terhadap musuhnya.
Kata Charles, tindakan Zahid itu cuba mempermainkan rakyat yang tidak faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penerimaan bukti baru atau penangguhan dalam kes SRC International melibatkan Najib.
"Adakah ia hanya untuk membebaskan Najib? Tidak. Ini untuk menyelamatkan dirinya sendiri," kata Charles.
Sehubungan itu Charles menegaskan bahawa Zahid mencontohi manipulasi strategik Najib melalui media sosial.
Katanya, kejayaan Najib memanipulasi media sosial telah menyukarkan orang biasa untuk mempercayai dia merompak wang dan dijatuhi hukuman penjara.
"Dan Zahid kini melakukan perkara yang sama," katanya.
Tanbahnya, pengampunan diraja akan mempermainkan badan kehakiman negara.
Pada Khamis lalu Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menggesa mereka yang memohon pengampunan diraja supaya membaca dan memahami betapa teruknya tindakan Najib.
Anwar berkata, "Apabila kita membaca dan tahu (faham), maka kita tidak akan mempertahankan (Najib)."
Sementara itu, badan pemantau pilihan raya, Bersih juga telah mengutuk mereka yang tanpa segan silu mengarahkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon pengampunan terhadap Najib dan pembubaran awal Parlimen.
Bersih mendakwa kumpulan ini merancang agar kerajaan baru nanti akan meminta pengampunan untuk Najib, menekan hakim dan mungkin menarik balik pertuduhan dalam kes rasuah lain.
Terdahulu dilaporkan pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan iaitu pada 7 Okt, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan sehari kemudian.
Dalam perkembangan itu Charles menggesa rakyat supaya bangkit dan melawan.
"Satu perkara yang boleh kita lakukan untuk negara kita hari ini, ketika kita menghampiri Hari Merdeka adalah untuk memastikan tiada siapa yang berada di atas undang-undang dan tiada siapa boleh menahan negara ini untuk wang tebusan," katanya.
Charles berkata Najib mungkin tergolong dalam kumpulan istimewa yang boleh menggunakan taktik untuk mengelak daripada dipenjara dan menyeru "orang biasa" untuk mempamerkan kekuatan (sokongan) mereka.
"Mari kita bersama-sama menentang taktik licik untuk membebaskan penjenayah yang disabitkan kesalahan," tegasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai