Skip to main
Logo Malaysiakini

'Strategi Umno guna sentimen Najib menang PRU takkan berhasil'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Strategi Umno menggunakan sentimen bekas perdana menteri Najib Abdul Razak yang dipenjara untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan berhasil.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar, bawah) berkata hanya segelintir ahli-ahli Umno masih percaya bahawa kes Najib tidak dibicarakan secara adil.

"Kita semua tahu Umno kalah pada PRU14 kerana Najib melibatkan isu 1MDB.

"Kini, Umno cuba menang balik PRU15 dengan menggunakan sentimen Najib sebagai modal.

"Ini tidak akan berhasil. Malah, strategi ini tidak dapat sambutan daripada pemimpin parti sendiri," katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Sathia merujuk kepada ketidakhadiran beberapa pemimpin utama Umno dan BN ke Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis taklimat khas itu menyokong petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan diraja untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Zahid juga berkata tulisan Facebook Najib perlu dijadikan bacaan untuk terus ditanda suka dan dikongsi oleh ahli parti.

"Ia adalah senjata Umno dan perlu digilap dan digunakan sentiasa.

“Jadikan pemikiran dan semangat tulisan ini sebagai senjata hidup Umno untuk terus memerangi musuh-musuh politik kita." kata Zahid.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak hadir majlis taklimat itu atas alasan mempunyai urusan rasmi di Bera, Pahang.

Selain Ismail Sabri, beberapa pemimpin utama Umno lain juga tidak hadir, antaranya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa serta veteran parti Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Beberapa menteri, timbalan menteri serta pemimpin-pemimpin utama parti komponen BN juga tidak hadir ke majlis tersebut.

Dr Sathia Prakash berkata strategi Umno ini mungkin berkesan di kawasan luar bandar.

"Namun, yang itu pun masih belum pasti.

"Dinamik politik tanah air semakin berubah selepas PRN Johor dan Melaka. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden (Mohamad Hasan) parti itu bahawa kemenangan PRN bukan jaminan BN akan menang besar dalam PRU15.

"Saya juga sebagai ketua cabang PKR Hulu Selangor menerima banyak maklum balas bahawa ramai setuju dengan keputusan Najib dipenjara.

“Pada akhirnya keadilan ditegakkan, tidak kira apa pun,” katanya.

Sementara itu, carian Malaysiakini mendapati, petisyen dalam talian dimulakan oleh Komunikasi BN Selangor (BNComms Selangor) memohon supaya Yang di-Pertuan Agong mengampunkan Najib Razak.

Petisyen bernama 'Jihad Bebaskan Najib Razak daripada penghakiman terancang' dilancarkan pada Taklimat Khas Presiden Umno semalam dengan anak Najib, Nooryana Najwa antara menandatanginya.

Sehingga berita ini ditulis (6.00 petang) sebanyak lebih 3,000 tandatangan dikumpulkan di laman web Change.Org.

Sementara itu, petisyen supaya tidak mengampunkan Najib dimulakan oleh Gabungan proreformasi sistem pilihan raya Bersih pada 24 Ogos mengumpulkan lebih 100,000 tandatangan setakat ini.