'Terkejut, nama kami terpapar tolak ketua AMK Selangor'
Dua ketua Pemuda PKR (AMK) peringkat cabang di Selangor menafikan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menentang Izuan Kasim (gambar, judul) dipilih sebagai ketua bahagian negeri mereka.
Dalam kenyataan bersama hari ini, V Jisnukvitran dan S Surendran berkata kemasukan mereka dalam senarai 12 ketua AMK cabang dalam nota bantahan semalam dilakukan tanpa persetujuan mereka.
"Kami merasa terkejut apabila melihat nama kami terpapar dalam kenyataan media tersebut seperti kami turut terlibat sama.
"Kami maklum di dalam peraturan tetap Angkatan Muda Keadilan kuasa melantik Ketua AMK negeri adalah kuasa Ketua AMK Pusat saudara Adam Adli selari dengan Perkara 12.4 dan kami akan memberi sokongan dan dokongan agar AMK Selangor terus kuat menjadi sayap utama di Negeri selangor.
"Tindakan mengeluarkan kenyataan media tanpa mengambil kira pendirian individu yang dinyatakan merupakan satu perbuatan yang tidak berintegriti. Perbuatan ini juga terang-terangan bertujuan merobek keharmonian yang terjalin usai pemilihan PKR," kata mereka pada satu kenyataan hari ini.
Jisnukitran dan Surendran masing-masing merupakan ketua Pemuda PKR bahagian Bangi dan Kuala Langat.
Kedua-duanya berkata Pemuda PKR Selangor harus menumpukan usaha mereka untuk menarik pengundi muda dan bukannya melakukan tindakan yang boleh mencemarkan nama baik parti itu.
Semalam, satu kenyataan bersama yang dikatakan ditandatangani oleh 12 ketua AMK cabang telah membantah pelantikan Izuan.
Kenyataan bersama itu menyebut AMK Selangor memerlukan pemimpin yang berwibawa dan bukannya seorang pemimpin yang dikawal oleh mana-mana individu tertentu bagi memperalatkan sayap pemuda PKR di negeri itu.
Kenyataan tersebut juga mendakwa 12 ketua AMK cabang itu menyokong Adun Rawang Chua Wei Keat sebagai ketua Pemuda PKR Selangor.
Terdapat 22 cabang PKR di Selangor.
Di bawah peraturan PKR, Ketua Pemuda PKR negeri merupakan jawatan yang dilantik.
Semalam, Ketua AMK yang baru dilantik Adam Adli mengumumkan senarai penuh 14 ketua pemuda PKR negeri. Dakwanya, senarai berkenaan dibuat selepas berunding dengan ketua-ketua AMK cabang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai