Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kerakyatan anak: Wanita BN digesa desak PM pinda perlembagaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin wanita dalam kerajaan perlu mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan golongan ibu hak sama rata untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negeri bersama pasangan bukan rakyat Malaysia.

Seruan itu dibuat Anggota Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang merujuk kepada ikrar Wanita Barisan Nasional yang mahu memperjuangkan isu tersebut dalam manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

“Inilah perbezaan antara kami dalam kalangan pembangkang dan mereka dalam kerajaan.

“Mereka bertanggungjawab untuk membangkitkan perkara ini dalam Kabinet, dapatkan persetujuan, desak perdana menteri untuk membentangkan pindaan Perlembagaan pada sesi Dewan Rakyat pada Oktober depan,” kata Kasthuri.

Kasthuri berkata demikian pada acara ‘Merdeka for Malaysian Mothers' anjuran Family Frontiers.

Family Frontiers sebelum ini bersama enam pihak lain mem failkan rayuan di Mahkamah Persekutuan agar ibu-ibu warganegara Malaysia diberikan hal sama rata seperti golongan bapa warganegara Malaysia untuk mewariskan kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Kasthuri turut membangkitkan keputusan perdana menteri supaya pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan kepada 7 Oktober dari 28 Oktober.

“Jika isu sepenting bajet boleh diawalkan selama 21 hari, kenapa tidak isu kewarganegaraan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara,” soalnya.

Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021, yang memutuskan wanita Malaysia mempunyai hak yang sama dengan lelaki Malaysia untuk mewariskan kerakyatan kepada anaknya yang lahir di luar negara.

Ketua Wanita BN Noraini Ahmad (gambar, atas) pada 14 Ogos lalu menggesa kerajaan meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan, dengan memasukkan perkataan “ibu” atau perkataan “bapa” ditukar kepada “ibu bapa”.

Tanpa perubahan ini, kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia tetapi berbapakan warga asing tidak boleh menerima kerakyatan Malaysia secara automatik, berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Enam ibu warga Malaysia pada Disember 2020 membawa kes itu terhadap kerajaan, dengan sokongan daripada Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan KL, dikenali sebagai Family Frontiers.

Malaysia ialah salah satu dari 25 negara yang tidak memberikan hak sama rata kepada ibu dan bapa di bawah undang-undang kewarganegaraan negara.

Anak yang lahir di luar negara dengan berbapakan warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing boleh mendapat kerakyatan secara automatik, tanpa mengira kewarganegaraan ibu.

[Baca berita asal]