Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi cabar saman sebab mahu jaga air muka - Puad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cabaran Rafizi Ramli supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad menyamannya dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) dibuat bagi menjaga air mukanya sendiri, kata pemimpin Umno.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata dia percaya Rafizi boleh mendapatkan sijil nikah Latiff dengan seorang wanita yang dikatakan terlibat dalam dakwaan skandal LCS.

“Rafizi pakar curi maklumat sebab itu dia bersalah kerana isu Bafia (Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan),” sindir Puad.

“Justeru, mustahil Rafizi tidak boleh curi sijil nikah Dr Latiff dengan wanita bernama Zainab Mohd Salleh. 

“(Tetapi) Rafizi cabar Dr Latiff saman dia. Itu cabaran untuk jaga air muka Rafizi.”

Rafizi beberapa kali mengaitkannya Abdul Latiff dan wanita yang didakwa sebagai isteri keduanya.

Latiff dalam kenyataan hari ini berkata Rafizi sebenarnya merujuk kepada draf laporan audit LCS, bukan laporan sebenar ketika mendakwa Zainab Mohd Salleh sebagai isterinya.

Sementara itu, menyifatkan Rafizi sudah terkedu dengan penafian Latiff, Puad berkata Rafizi juga boleh membuat laporan polis atau menyaman pemimpin Bersatu itu di mahkamah atas dakwaan menipu status perkahwinan.

“Laporan polis adalah hobi Rafizi,” sindirnya.

Sementara itu juga mempersoalkan kenapa Rafizi mengaitkan penafian Latiff itu sebagai taktik pemimpin dan bekas pemimpin Umno.

Audit forensik itu diarahkan oleh syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) meliputi apa yang berlaku bermula 2011 sehingga akhir tahun kewangan 2014.

Ia merupakan satu daripada dua laporan audit LCS yang dinyahrahsiakan oleh kabinet.

Salinan yang diberikan BHIC kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) mengandungi penafian Latiff.

PKR lapor polis

Sementara itu, Rafizi mengumumkan bahawa Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasir akan membuat laporan polis terhadap Latiff.

Laporan itu dibuat susulan dakwaan Latiff, bekas timbalan menteri pertahanan, terbabit dalam penyelewengan dana LCS melalui syarikat palsu.

“Selepas ini, laporan-laporan kepada pihak berkuasa oleh veteran-veteran tentera dan anggota PKR seluruh negara akan menyusul.

“Kita akan kejar menteri-menteri sakau sehingga mereka dihukum,” katanya.

Pemerolehan LCS mencetuskan kontroversi setelah ditegur Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Setakat ini belum sebuah pun kapal siap sedangkan RM6 bilion dibelanjakan.