Skip to main
Logo Malaysiakini

Zaid Ibrahim, rakan kongsi tuntut presiden Badan Peguam mohon maaf

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam kanan, Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya menuntut Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah memohon maaf berhubung kenyataan media yang dikeluarkan pada 19 Ogos lalu, selain menarik balik kenyataan tersebut.

Zaid serta peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam mendakwa kenyataan media itu adalah "libel yang serius", dan akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Cheah jika dia tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf sebelum 2 Sept.

Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan pada 26 Ogos kepada Cheah, ketiga-tiga peguam itu mendakwa kenyataan media berkenaan sebagai “palsu dan berniat jahat” yang mengandungi kenyataan berhubung kelakuan mereka semasa kes rayuan Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu mengandungi beberapa perenggan yang menunjukkan “ia tidak mengambil kira sama ada tuduhan yang diadukan (adalah) benar".

Mereka juga mendakwa kenyataan Cheah mencadangkan bahawa peguam-peguam itu “tidak profesional, tidak cekap dan tidak tahu peraturan amalan dan etika profesional”, serta “tidak kesal menyalahgunakan proses mahkamah”.

Tambah mereka, kenyataan tersebut turut mencadangkan bahawa tindakan peguam-peguam itu “secara terang-terangan menghina mahkamah” dan “tidak sesuai diamalkan oleh peguam bela dan peguam cara”.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai “palsu dan keji”, surat itu menambah, “dengan menerbitkan dan menyebarkan kenyataan media dan menyebabkan kenyataan yang dapat disangkal itu disiarkan (oleh) portal berita dalam talian, (Cheah) berniat untuk, dan memastikan bahawa ia menerima liputan seluas boleh … bagi semua rakyat Malaysia”.

“Anda juga tahu … bahawa (kes Najib) telah menarik liputan media antarabangsa yang meluas dan (bahawa) tuduhan (anda itu akan) disebarkan kepada masyarakat antarabangsa juga,” kata surat itu.

Selain permohonan maaf, peguam terbabit juga menggesa presiden Badan Peguam berjanji tidak mengulangi kenyataan sedemikian mengenai mereka, selain turut meminta pampasan kos dan perbelanjaan yang munasabah.

Malaysiakini sedang menunggu maklum balas daripada peguam berkenaan serta Cheah berhubung perkara itu.

Pada 19 Ogos, Badan Peguam mengeluarkan kenyataan media yang menyelar kelakuan pasukan peguam Najib semasa pendengaran rayuan membabitkan bekas perdana menteri itu dalam kes SRC di mahkamah persekutuan.

Cheah menyifatkan kelakuan peguam berkenaan sebagai menyalahgunakan proses mahkamah di Malaysia dan mencemarkan nama baik sistem kehakiman, selain peguam yang terlibat perlu berdepan tindakan tatatertib.

Katanya, meskipun Najib berhak menggugurkan peguamnya dan melantik peguam baru, namun dengan berbuat demikian, ia bermakna mengambil risiko bahawa mahkamah mungkin tidak membenarkan penangguhan, sementara pasukan peguam baru mengambil alih kes tersebut.