Wanita PKR anggap Azalina bermuka-muka
Wanita PKR menganggap anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Azalina Othman, bersikap bermuka-muka dalam isu hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara.
Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, berkata pada satu sisi Azalina mencadangkan agar perlembagaan negara dipinda melalui usul rang undang-undang (RUU) persendirian di parlimen.
Namun pada sisi lain, katanya, Azalina merupakan penasihat khas berkenaan undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri.
Dalam kedudukan itu, kata Sangetha, Azalina boleh memujuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk membantu wanita Malaysia yang bersuamikan lelaki rakyat asing dan melahirkan bayi mereka di luar negara.
"Azalina nampaknya terlupa bahawa dia berkhidmat sebagai penasihat khas kepada perdana menteri.
"Sepatutnya memang menjadi tugas Azalina untuk mendesak perdana menteri meneruskan pindaan berkenaan," katanya hari ini.
Terdahulu Azalina berkata Jawatankuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial berminat untuk membentangkan RUU persendirian bagi meminda perlembagaan berkaitan anak-anak kelahiran luar negara.
Azalina yang juga pengerusi jawatankuasa bagaimanapun masih ragu-ragu sama ada RUU berkenaan berdepan laluan yang mudah untuk diterima Dewan Rakyat atau sebaliknya.
Untuk rekod kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara boleh diberikan kerakyatan jika bapanya warga Malaysia tanpa mengambil kira siapa ibu bayi terbabit.
Namun keadaan berbeza jika hanya si ibu saja merupakan rakyat Malaysia. Undang-undang Malaysia setakat ini masih tidak membenarkan kerakyatan diberikan secara automatik.
Tak perlu tunggu PRU
Keadaan itu mendorong sekumpulan wanita Malaysia membawa kes tersebut ke mahkamah.
Pada 9 Sept 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan, kerakyatan mesti diberikan kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing.
Bagaimanapun, pada 5 Ogos lalu Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut.
Kata Sangetha, Azalina berada pada kedudukan yang sesuai untuk memastikan proses pindaan perlembagaan itu dimulakan dan dibawa ke parlimen.
Dia juga membangkitkan keperluan Wanita Umno mahu menjadikan isu kewarganegaraan tersebut dalam manifesto mereka bagi menyertai pilihan raya umum akan datang.
"Pilihan ada di tangan mereka, perdana menteri pula adalah dari Umno. Mengapa usaha tersebut tidak boleh dilakukan sekarang? Mengapa perlu menunggu PRU? Mengapa perlu dimasukkan dalam manifesto?
"Ia sepatutnya dilakukan sekarang," katanya.
Sangetha juga menegur Azalina yang membangkitkan isu kebebasan parlimen serta kemungkinan sikap berat sebelah ahli Dewan Rakyat untuk menerima RUU tersebut.
"Anda mahukan badan perundangan yang bebas tetapi pada masa sama menyokong pelantikan berat sebelah pada masa yang sama (dengan membangkitkan pelantikan peguam negara).
"Kemunafikan menyeluruh ini sangat memuakkan," tambah Sangetha.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai