Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Rosmah: Polis rekodkan kenyataan 4 pegawai mahkamah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Empat individu sudah dirakam percakapan mereka ekoran siasatan yang dijalankan polis berhubung kebocoran draf yang dikaitkan dengan perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor.

Kata Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, mereka yang diambil keterangan itu merupakan pegawai undang-undang mahkamah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes tersebut,” katanya yang dipetik Utusan Online hari ini. 

Tambah Beh, individu terbabit merupakan pegawai yang memilikiu akses kepada dokumen yang didakwa dibocorkan kepada pihak yang tidak berkenaan.

Siasatan berkenaan dijalankan selepas Istana Kehakiman membuat laporan polis mengenai hantaran pada blog Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan dokumen didakwanya sebagai penghakiman kes Rosmah.

Isteri Najib Razak itu sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan membabitkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

The Star kemudian memetik Beh sebagai berkata, dokumen yang didedahkan Raja Petra itu bukanlah salinan akhir yang digunakan hakim yang mengadili kes Rosmah.

Sebaliknya kata Beh ia merupakan dokumen rujukan buat hakim.

Menurut Beh kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 yang berkaitan kesalahan membocorkan makluman, selain Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.