Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir, kemarau, ribut boleh bawa kerugian AS$5.6 trilion menjelang 2050

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kemarau yang lebih teruk, ribut dan hujan lebat di beberapa negara dengan ekonomi terbesar dunia boleh menyebabkan kerugian AS$5.6 trilion kepada KDNK menjelang 2050, menurut laporan https://aquanomics.ghd.com/ dikeluarkan Isnin.

Tahun ini hujan lebat telah mencetuskan banjir yang menenggelamkan bandar di China dan Korea Selatan serta mengganggu bekalan air dan elektrik di India, manakala kemarau telah meletakkan hasil tuaian petani dalam risiko di seluruh Eropah.

Bencana sebegini menyebabkan ekonomi global kerugian ratusan bilion dolar. Kemarau, banjir dan ribut melampau tahun lalu menyebabkan kerugian global lebih daripada AS$224 bilion, menurut Pangkalan Data Peristiwa Kecemasan https://www.emdat.be/ yang diselenggarakan oleh Pusat Penyelidikan Epidemiologi Bencana yang berpangkalan di Brussels.

Tetapi apabila perubahan iklim mencetuskan hujan, banjir dan kemarau yang lebih hebat dalam beberapa dekad akan datang, kos ini dijangka semakin meningkat, kata laporan oleh firma perunding kejuruteraan dan alam sekitar GHD itu memberikan amarannya.

Air – apabila terdapat terlalu banyak atau terlalu sedikit – boleh "menjadi kuasa yang paling merosakkan yang boleh dialami oleh masyarakat," kata Don Holland, yang mengetuai program pasaran air Kanada untuk GHD.

GHD menilai risiko air di tujuh negara yang mewakili pelbagai keadaan ekonomi dan iklim: Amerika Syarikat, China, Kanada, United Kingdom, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Australia.

Menggunakan data insurans global dan kajian saintifik tentang bagaimana peristiwa cuaca ekstrem boleh menjejaskan sektor yang berbeza, pasukan itu menganggarkan jumlah kerugian yang dihadapi negara dari segi kos segera serta ekonomi keseluruhan.

Di Amerika Syarikat, ekonomi terbesar dunia, kerugian boleh berjumlah AS$3.7 trilion menjelang 2050, dengan keluaran dalam negara kasar AS menyusut kira-kira 0.5 peratus setiap tahun dalam tempoh itu.

China, ekonomi nombor dua terbesar dunia, menghadapi kerugian kumulatif sekitar AS$1.1 trilion menjelang pertengahan abad.

Daripada lima sektor perniagaan yang paling penting kepada ekonomi global, pembuatan dan pengedaran akan paling teruk dilanda bencana dengan kos AS$4.2 trilion kerana kekurangan air mengganggu pengeluaran manakala ribut dan banjir memusnahkan infrastruktur dan inventori.

Sektor pertanian, terdedah kemarau dan hujan lebat, boleh mengalami kerugian sebanyak AS$332 bilion menjelang 2050. Sektor lain yang menghadapi cabaran utama ialah peruncitan, perbankan dan tenaga.

Pada Forum Ekonomi Dunia tahun ini di Davos, Switzerland, sekumpulan pakar global melancarkan suruhanjaya baru untuk menyelidik ekonomi air yang bertujuan menasihati pembuat dasar mengenai pengurusan air.

Kita mesti "bersama-sama mengubah cara kita mentadbir air dan iklim," kata pengerusi bersama suruhanjaya Tharman Shanmugaratnam.

"Kos untuk berbuat demikian tidaklah besar sangat, malah ia cukup sikit berbanding kos membiarkan cuaca ekstrem mendatangkan malapetaka."

(Laporan oleh Gloria Dickie; Suntingan oleh Katy Daigle dan Susan Fenton)

- Reuters