Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi peguam Najib mahu saman presiden Badan Peguam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Hisyam Teh Poh Teik menyifatkan kenyataan Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah mengenai kelakuannya ketika rayuan Najib Razak dalam kes rasuah SRC International sebagai fitnah.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam bela kepada bekas perdana menteri itu membayangkan akan memfailkan saman sivil terhadap Karen Cheah.

“Karen Cheah Yee Lynn, presiden Badan Peguam Malaysia, akan mendengar daripada saya juga.

“Kenyataan akhbar beliau pada 19 Ogos 2022, telah menyerang saya dan pasukan saya dengan sekeras-kerasnya, pendirian yang nakal dan sangat memfitnah.

"Dia perlu mewajarkan kecamannya di mahkamah," kata Hisyam.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respons daripada Cheah berhubung kenyataan peguam itu.

Semalam, juga dilaporkan bahawa peguam Zaid Ibrahim dan dua peguam lain menuntut permohonan maaf daripada Cheah dan menarik balik kenyataan akhbar yang sama.

Pada 19 Ogos lalu, Badan Peguam mengeluarkan kenyataan media yang mengecam kelakuan pasukan peguam Najib semasa pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu di mahkamah persekutuan.

Cheah menyifatkan kelakuan peguam Najib sebagai menyalahgunakan proses mahkamah dan telah mencemarkan nama baik sistem kehakiman, selain mereka harus berdepan tindakan tatatertib.

Dia berkata walaupun Najib berhak menggugurkan peguamnya dan melantik peguam baru, tindakan demikian juga bermakna mengambil risiko bahawa mahkamah mungkin tidak membenarkan penangguhan sementara menunggu barisan peguam baru mengambil alih kerana penangguhan itu bukanlah hak yang automatik.

Cheah berkata, mengenai peguam Najib, peraturan amalan undang-undang menetapkan bahawa peguam tidak boleh menerima sebarang kes melainkan mereka yakin boleh hadir dan mewakili anak guam pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah.

Dia berkata peguam juga mesti berusaha sedaya upaya untuk bersedia pada tarikh perbicaraan tersebut, mengikut Peraturan 6(a) dan 24(a) Kaedah-Kaedah Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978.

Pada akhir Julai lalu, Najib menggugurkan pasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah dan melantik peguam daripada firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, serta dari firma guaman yang diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC.