Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS tegas tiada kerjasama dengan PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS menegaskan parti itu tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU ke-15 (PRU15) termasuk cadangan mewujudkan "khemah besar".

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap berpegang kepada konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin baru-baru yang membayangkan hasrat untuk bekerjasama dengan pembangkang.

"PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod PAS memeterai piagam Muafakat Nasional (PN) dengan Umno ketika menjadi pembangkang.

Kedua-dua parti itu menyertai Perikatan Nasional - yang ditunjangi Bersatu - selepas membentuk kerajaan pada Februari 2020 dengan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, presiden Bersatu itu hilang sokongan majoriti di parlimen apabila Umno menarik balik sokongan terhadapnya, menyaksikan naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai perdana menteri berikutnya.

Hubungan Umno-PAS kemudian menjadi semakin renggang, khususnya apabila PAS tetap mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Sabtu lalu, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang termasuk PH, mempertimbang rundingan dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU15.

Muhyiddin menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Kata Muhyiddin, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

Utamakan penyatuan ummah

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, PAS yakin konsep penyatuan ummah boleh dijayakan dengan kerjasama parti-parti Melayu utama di negara ini.

"PAS tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

"PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan

Melayu-Islam dan Bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia," katanya lagi.