Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai Abdul Latiff lapor polis terhadap dakwaan Rafizi isu LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini selepas Rafizi mendakwa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh yang terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Abdul Latiff, Sayed Ahmad Mu'izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya meskipun menteri itu sudah memberi penjelasan.

“Saya diarahkan dan sesungguhnya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut dicipta untuk merosakkan nama baik Abdul Latiff untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Abdul Latiff dan menyemarakkan keresahan rakyat.

"Penyiaran dan komunikasi elektronik (oleh Rafizi) tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam, dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut, dan mengganggu Abdul Latiff," katanya dalam laporan itu.

Katanya, dia percaya Rafizi telah melakukan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan, ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, penghinaan dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Laporan itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi malam tadi, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak terhadap Rafizi dan mereka yang bekerja dengannya melakukan jenayah yang didakwa.

Antara lain, Sayed Ahmad mengulangi dakwaan menteri bahawa Rafizi mengelirukan orang ramai dengan memetik draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya.

Dia berkata ini tidak mengendahkan penafian yang terkandung dalam laporan yang menyatakan bahawa juruaudit tidak dapat menilai kebenaran dakwaan yang dibuat oleh orang yang terlibat dalam projek itu.

"Rafizi berbohong kerana dia kononnya bersandar kepada laporan forensik yang menyatakan Zainab Mohd Salleh adalah isteri kedua Abdul Latiff sedangkan laporan forensik tidak menyatakan sedemikian," katanya.

Laporan aufit forensik dinyah klasifikasi

Sebelum ini, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd menyah klasifikasi laporan audit forensik LCS, selepas diarahkan oleh kabinet untuk berbuat demikian. Ia kini disiarkan di laman web Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Laporan itu menyatakan bahawa Abdul Latiff Ahmad adalah pasangan (spouse) kepada Zainab Mohd Salleh.

Zainab dikaitkan dalam laporan itu kerana didakwa melakukan penipuan pembayaran. Bagaimanapun, butirannya tidak jelas kerana banyak bahagian laporan itu telah disunting.

Rafizi menegaskan bahawa pasangan yang dirujuk dalam laporan itu merujuk kepada bekas timbalan menteri pertahanan.

Abdul Latiff bagaimanapun menafikannya.

Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS, dan keluarganya tidak mempunyai sebarang kontrak pertahanan semasa menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang tindakan orang itu tidak ada kena mengena dengannya.

Dia menuduh Rafizi mengelirukan rakyat dengan memetik laporan "draf" untuk menyokong dakwaannya, mendakwa wujudnya laporan lain yang dikeluarkan oleh firma audit yang sama yang tidak menyebut hubungan suami isteri.