ULASAN | Mentafsir 'ombak-ombak manja' dari Kota Sarang Semut
ULASAN | Menjadi sebuah parti politik apa pun, pada akhirnya ia bermatlamatkan kuasa, yakni memerintah dengan lunas dan dasar-dasar yang dipegang mengikut keyakinan masing-masing.
Bekas pemimpin PAS Allahyarham Nik Abdullah Arshat dalam bukunya Angkara Kalbu Kotor yang diterbitkan pada 1988 menegaskan, PAS itu didaftarkan dengan azam untuk mengambil alih kuasa dan pentadbiran negara.
Katanya, kemungkinan kerajaan negara ini jatuh ke tangan PAS tidak dapat difikirkan oleh semua pihak di masa-masa lalu, tetapi ia bukan lagi dikira mustahil dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan tahun-tahun akan datang.
Dan kini tiba-tiba PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan walau secara gabungan, dan tidaklah mengejutkan jika parti itu juga mempunyai cita-cita besar untuk berkuasa tanpa perlu bergantung kepada pihak lain agar agenda yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Sempena Muktamar PAS kali ke-68 ini, penulis cuba meninjau dan melihat pergerakan PAS serta bagaimanakah 'rima-rima pantun' yang bakal bergema di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar hujung minggu nanti.
Sayugia diingatkan mesyuarat agung tahunan PAS kali ini berlangsung dalam suasana PRU ke-15 yang dirasakan sangat hampir dan parti itu bakal merangka langkah penting untuk menghadapinya.
Percakapan politik memang tidak pernah selesai dan sentiasa berubah. Begitu jugalah PAS yang turut berubah bahkan boleh mencapai 180 darjah pusingannya dalam hal-hal tertentu.
Dijangkakan lebih 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar kali ini. Ia muktamar yang pasti mengujakan kerana selama beberapa tahun ia berlangsung dengan agak sunyi susulan pandemik Covid-19.
Apakah muktamar kali ini hanya sekadar memenuhi keperluan ditetapkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)? Apakah mungkin ada rungkaian hal-hal dasar besar parti dan soal prinsip serta pendirian yang harus dituntaskan sebelum melangkah ke gelanggang PRU?
Pada PRU ke-15 nanti PAS dilihat bakal berdepan cabaran baru rentetan kerjasama yang dijalin dengan parti lain khusus dengan Bersatu - melalui Perikatan Nasional (PN) - dan Umno - dalam Muafakat Nasional (MN) - yang semakin terlerai ikatannya.
Harapan satu lawan satu
Secara umum PAS memang dilihat semakin serasi bersama PN berbanding MN. Justeru parti itu kini lebih dilihat hanya berbasa-basi dengan MN dengan menjaja gagasan penyatuan ummah.
Senario semasa menyaksikan realiti bahawa sudah tiada lagi penawar untuk mengelakkan PAS daripada bertembung dengan Umno-BN seperti yang sudah berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.
Sama ada suka atau tidak, ia meletakkan PAS berada dalam dilema juga. Tanpa menafikan semangat yang membara, parti itu berada di persimpangan untuk memastikan mereka boleh berdepan secara satu lawan satu menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Semangat itu juga diyakini tidak akan goyah walaupun Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, mengesahkan wujudnya idea untuk gabungan itu bekerjasama dengan PH bagi menentang BN.
PAS sendiri semalam dengan tangkas menolak idea berkenaan.
Situasi ini akan meletakkan PAS tersepit di antara 'cinta dua kolam' - mahu bersungguh-sungguh membenam PH atau melawan BN sebenarnya?
Dengan andaian PN tidak akan bekerjasama dengan PH kerana bantahan PAS, adalah mustahil juga untuk Bersatu bekerjasama dengan BN bagi memenuhi hasrat PAS merealisasikan formula satu lawan satu.
Pada masa sama, umum mengetahui di dalam PAS sendiri wujud sekurang-kurangnya dua kumpulan yang mempunyai idea berbeza.
Satu mahu istiqamah dengan PN, tetapi pada masa sama ada juga pihak yang cenderung memugar semula kerjasama mereka dengan Umno. Suka atau tidak, ia akan menjadi isu di dalam PAS. Malah jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh berubah menjadi duri dalam daging PAS.
Jika ia merebak menjadi penyakit yang lebih kronik, ia mungkin akan membakar jambatan yang dibina di antara PAS dengan Bersatu.
Adakah PAS akan membuat pusingan-U dan kembali ke pangkuan MN?
Sudah tentu ia tidak mudah dan situasi ini boleh ditanggapi dengan sikap ditunjukkan sesetengah pemimpin Umno terhadap PAS. Misalnya di Terengganu dan Kelantan, Umno sudah lama mengisytiharkan 'perang' dan menolak sebarang kompromi dengan PAS.
Ia adalah isyarat sangat jelas yang Umno-BN mahu menjatuhkan PAS di negeri tertentu.
Tempat lontar idea segar
Sebagai imbalan, PAS sendiri secara terbuka menzahirkan tekad mereka mahu merampas penguasaan Umno-BN seperti Pahang.
Bagaimana pula jika akhirnya Muhyiddin masih bertegas dengan 'lamarannya' terhadap PH? Memanglah PH setakat ini sudah menolak mentah-mentah isyarat kenyit mata tersebut, tetapi dalam politik yang kadang-kadang penuh kelucuan sekarang, macam-macam boleh berlaku.
Adakah PAS juga akan bertegas juga? Akhirnya siapa akan mengalah?
Selain itu PAS juga perlu akur bahawa masih ada isu yang perlu ditangani. Kemunculan istilah "Jebon 2.0" misalnya adalah isyarat bahawa ada sesuatu yang belum tuntas dalam parti tersebut.
Ia adalah petanda wujudnya ombak dari kolam-kolam yang sedang direnangi PAS dengan asyik maksyuk itu.
Justeru gelanggang PRU ke-15 adalah perlawanan yang agak sulit dan penuh helah buat PAS berbanding PRU yang lebih polos pada 2018. Lebih-lebih lagi usaha mempertahankan negeri-negeri yang berada di bawah teduhan PAS yakni Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ia juga akan menentukan kedudukan PAS sebagai kerajaan pusat.
Justeru muktamar yang akan berlangsung pada 1 hingga 4 Sept nanti dilihat sewajarnya menjadi medan untuk para perwakilan melontar idea-idea segar untuk diperhalusi pimpinan.
Tidak kurang penting juga ialah prestasi PAS sebagai kerajaan persekutuan.
Apa juga pendirian kerajaan dalam pelbagai perkara, sikap dan pendekatan PAS sentiasa menjadi kayu ukur pihak lawan sebagai perbandingan dengan pendirian mereka ketika bergelar pembangkang.
Jangan pula, prestasi darah anak muda dalam Pemuda PAS juga akan dinilai oleh orang ramai. Sudah tentu mereka tidak akan rela menjadi bahan ketawa masyarakat kerana hanya berdegar-degar dengan amaran tetapi sifat pada perbuatan.
Akhir kalam, muktamar tahun ini sudah pasti diambil kesempatan barisan kepimpinan PAS untuk meniupkan semangat perjuangan ke akar umbi sementara menanti gendang PRU ke-15 dipalu.
Pesan-pesan muluk tentang pentingnya taat setia kepada pemimpin tentunya akan silih berganti diperingatkan dalam muktamar tersebut. Ia memang perlu sebagai bekal PAS mendepani sebarang kemungkinan, termasuk yang luar biasa.
Seeru ala barakatillah.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai