Jika Najib tak salah, kenapa tiada sokongan a'bangsa - Lim
Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini meminta Pesiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menamakan satu negara Komanwel yang percaya bahawa Najib Razak tidak dibicara dengan adil dalam kes SRC International.
"Bolehkah Zahid memberi satu contoh bahawa Najib dibicara secara tidak adil oleh negara-negara Komanwel," kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Ini selepas Zahid berucap dalam taklimat khas Umno baru-baru ini sebagai solidariti terhadap Najib yang mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan SRC International.
"Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib ia bakal menjadi rujukan kes-kes selepas ini dan akan juga oleh negara-negara Komanwel," kata Zahid.
Presiden Umno ketika berucap juga mendakwa perbicaraan terhadap Najib boleh mewujudkan persepsi tidak adil kerana beberapa individu 'tidak dibawa ke muka pengadilan" dan Najib tidak dibenarkan mengemukakan bukti tambahan pada rayuan terakhirnya.
"Watak-watak penting seperti Jho Lo, Nik Faisal, Zeti Akhtar Aziz yang disebut dalam perbicaraan tidak pun ditampilkan," kata presiden Umno itu.
"Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil," dakwa Zahid lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri hari ini juga menyoal Zahid kenapa dia tidak menjadi saksi dalam kes itu, di sebalik kenyataan sebelum ini bahawa dia pernah berjumpa dengan keluarga Arab yang didakwa memberi sumbangan kepada Najib.
Pada 22 April 2015, Zahid memberitahu Umno bahagian Sri Gading, Johor, bahawa beliau telah bertemu dengan anggota keluarga diraja Arab yang dikatakan memberikan derma RM2.6 bilion kepada Najib.
Namun, Zahid tidak menyebutkan nama individu berkenaan.
Zahid secara terbuka berkata "keluarga diraja Arab" membuat derma itu untuk membantu Umno dan BN meneruskan pemerintahan Malaysia dan dia telah memetik dokumen yang membuktikan "derma" itu sah.
'Hujah derma' itu bagaimanapun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mensabitkan Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada syarikat milik kerajaan, SRC International Sdn Bhd milik kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai