Skip to main
Logo Malaysiakini

Amankan dulu keluarga ini - Tuan Ibrahim nasihat Umno, Bersatu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno masih wujud dan kedua-dua parti tidak mahu dibubarkan, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan partinya adalah jambatan penyatuan ummah.

Kerana katanya, jika Melayu sebagai komuniti rakyat yang majoriti ini berpecah, maka negara dan kaum minoriti juga tidak akan stabil sepertimana keadaannya bagi sebuah keluarga.

“Kalau mak ayah duk bergaduh, walaupun anak-anak itu baik, rumah tangga tak akan tenang. Amankan dulu, keluarga ini. Jadi dalam konteks besar kita, kita orang Melayu ini perlu duduk bersama dulu.

“Sebab kestabilan orang Melayu akan menyebabkan yang bukan-Melayu akan turut stabil, dalam konteks negara, kita bincang dalam konteks masa depan negara kita. Itu asasnya,” kiasnya, lapor Harakahdaily hari ini yang memetik siaran You Tube rancangan Feng Ren Guan.

Timbalan presiden PAS itu menjawab soalan pengendalinya, Lum Chih Feng mengenai status MN yang kini menjadi pertikaian.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS dalam konteks tersebut sering berbincang dengan Umno untuk menerima Bersatu dan mengajak Bersatu menerima Umno.

“Perkara-perkara kecil-kecil ini kita boleh runding. Polisi asasnya kita ada pilihan raya ini, kita kena ada kekuatan bersama. Tapi bukan untuk mengenepikan nasib non-Muslim, bukan! Tapi soal kalau kita lemah, rakan-rakan kita nak bergantung dengan siapa?

“Jadi, oleh kerana itu negara ini perlu stabil. Sebab itu bila Tan Sri Muhyiddin (Yassin) jadi perdana menteri kan Umno tarik sokongan. Masa itu kecoh. Kemudian bila Ismail Sabri (Yaakob) pegang, kita buat CSA (MOU) dengan pembangkang, kerjasama.

“Okey, politik stabil. Ya, tenanglah walaupun isu kita masih banyak, tapi boleh tenang. Jadi ketenangan ini penting dalam konteks politik.

“Saya fikir saya setuju bahawa parti-parti Melayu ini perlu duduk dan cari jalan macam mana untuk tolak ansurlah.

“Politik ini kena tolak ansur banyak. Kalau kita saya pertahan hak saya, orang itu berkata hak dia, jadi akhirnya tidak akan dapat kata sepakat dalam konteks politik negara kita,” katanya.

Tuan Ibrahim menasihatkan supaya PAS, Umno dan Bersatu untuk menumpukan usaha membantu rakyat dulu daripada berebut jawatan menyebabkan rakyat terbiar.

“Kalau kita duk bergaduh, rakyat kita tengah susah. Jadi saya fikir ni bukan masa yang baiklah.

“Jadi sebab itu kita nak supaya tiga-tiga parti ni, terimalah hakikat untuk hadapi PRU15, kita duduk bersama.

“Mana yang kebetulan kerusi dia dah dimenangi oleh parti lain, kamu buat rehatlah dulu.

“Tapi mungkin ada yang boleh-boleh bantulah. Kerja menjaga negara ini banyak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada 29 Ogos menegaskan pendirian BN untuk bergerak solo dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti adalah muktamad.

Jelasnya, keputusan untuk bergerak sendiri sudah diputuskan BN sebelum ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun.

"Letih saya, berapa kali nak cakap, biar dia menggesel-gesel badan, dia tengah menggesel-gesel badan kat kita, dia nak menggesel badan ke dia nak apa ke, itu dia punya pasal.

"Jangan tergoda, jangan terlena dengan pujuk rayu, takkan selalu sangat kita nak kena tipu, berapa kali BN nak kena tipu?" kata Mohamad.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas pula menyarankan semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).