Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah diminta bertindak sewajarnya terhadap kolam Musang King Baling

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Negeri Kedah diminta mengambil tindakan sewajarnya berhubung kolam takungan air projek durian “musang king” di Gunung Inas di Baling bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan terdapat tiga kolam takungan besar yang membimbangkan penduduk daerah ini sekiranya pecah seterusnya boleh mengakibatkan bencana.

"Kita faham penduduk bimbang kalau kolam pecah akan bawa bencana, sebelum ini tiada lagi kolam pecah.

“Saya akan minta kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya, macam mana (cara) kita serah kepada kerajaan negeri dan demi keselamatan penduduk kita akan bincang supaya ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas Majlis Doa Selamat Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia di Baling hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) sebelum ini mengesahkan punca banjir di beberapa kampung di Baling pada 4 Julai disebabkan kolam takungan yang dibina di puncak Gunung Inas, pecah.

Ditanya mengenai keperluan untuk membuat empangan bagi mengatasi masalah banjir di Baling, Ismail Sabri berkata Kasa akan membuat kajian terperinci jika ia diperlukan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pemberian RM2,500 kepada 1,012 mangsa banjir di Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi pada 4 Julai lepas akan diberikan secara tunai hari ini dengan jumlah keseluruhan RM3.6 juta.

Perdana menteri turut mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk pembinaan jambatan konkrit kekal bagi menggantikan jambatan Bailey 2.43 meter di Kampung Iboi yang dibina oleh Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Jambatan Bailey itu disiapkan untuk ganti jambatan runtuh dan ia tak kekal.

“Tidaklah begitu mendesak dari segi penggunaan (jambatan konkrit), Bailey boleh guna tiga hingga lima tahun tapi bukan jangka masa panjang," katanya sambil menambah kerajaan memperuntukkan RM4.8 juta untuk membaik pulih 17 titi di daerah itu.

Selain itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM3 juta bagi pembinaan 17 rumah baru untuk penduduk yang tinggal di tepi sungai di Baling atas faktor keselamatan dengan kadar segera dan kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak sesuai.

Ismail Sabri juga mengumumkan, pembinaan 20 rumah baru di Desa KEDA Sadek, Mukim Kupang bagi mangsa banjir puing itu dan ia sedang dilaksanakan.

Katanya lapan daripada 20 rumah yang dibina agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dijangka siap pada 5 Oktober ini manakala 12 unit lagi di bawah kelolaan kerajaan negeri dijangka siap dalam masa terdekat.

"Saya datang untuk memastikan semua yang dijanjikan dan diumumkan dilaksanakan, itu yang lebih penting...saya tak mahu penduduk yang terkesan terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk disempurnakan apa yang dijanji.

“Sebab itu hari ini saya datang turun sendiri ke tempat kejadian atau ‘ground zero’ untuk memastikan apa yang dijanjikan kerajaan terlaksana," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri menyerahkan komputer riba kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Daerah Baling dan pelajar-pelajar universiti yang juga mangsa banjir puing.

Beliau turut menyerahkan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), penyampaian cek kepada usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun, penyerahan sumbangan usahawan kecil dan asnaf sebanyak RM1,000 kepada 36 penerima oleh Bank Rakyat serta penyerahan cek RM50,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling).

- Bernama