Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah: Nasib Bung Moktar, Zizie diketahui esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan sama ada Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad akan dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan rasuah akan diketahui pada esok Jumaat (2 Sept).

Ahli parlimen Kinabatangan itu dan isterinya selebriti berdepan pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta ke atas pelaburan Felcra Bhd dalam unit amanah bernilai RM150 juta.

Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob, selepas mahkamah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 24 Jun lalu.

Sekiranya mahkamah memutuskan memihak kepada pihak pendakwaan bahawa terdapat kes prima facie terhadap Bung Moktar, sebagai defendan pertama dan Zizie Izette sebagai tertuduh kedua, maka mereka akan dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, jika hakim memutuskan sebaliknya, maka kedua-dua tertuduh akan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 17 Mei lalu setelah memanggil 30 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Januari 2020.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Dia juga didakwa menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.