Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Dibelenggu penjajah' dari dalam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | “Di Jepun, tren lambat tak sampai tiga minit pun, depa pi mintak maaf kepada semua penumpang di setiap koc. Saja nak habaq.” Ini status di Facebook saya setahun yang lalu.

Ia dihantar pada suasana kehangatan semangat merdeka masih terasa, seperti hari ini.

Sebelum omelan ini pergi jauh, saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kemerdekaan yang ke-65 kepada semua rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Kelmarin kita sudah melihat bagaimana rakyat begitu ghairah menyambut hari merdeka sehingga lunyai pokok-pokok hiasan majlis bandaraya dilatam orang ramai.

Tentu sekali tidak akan ada permohonan maaf daripada mereka atas perbuatan merosakkan harta awam tersebut.

Memang begitulah, permohonan maaf di negara kita yang tercinta ini rupa-rupanya terlalu mahal sehingga jarang sekali kita berpeluang mendengarnya daripada sesiapa pun.

Baik kesilapan pihak atasan mahupun bawahan, permohonan maaf memang teramat mahal.

Namun bandingkanlah dengan negara lain. Kalau ada kes-kes kepentingan awam seperti jambatan runtuh, feri karam dan sebagainya, pasti ada yang ke depan memohon maaf.

Kadang-kadang insiden itu berlaku bukan atas kesilapan individu yang meminta maaf itu pun, tetapi mereka berjiwa besar untuk mengambil tanggungjawab.

Kemudian mereka dengan penuh bermaruah meletak jawatan.

Di negara tercinta ini, permohonan maaf mungkin bukan budaya kita. Budaya kita ialah memuja-muja pemimpin sampai ke tahap taasub, waima sesudah mereka dibuktikan bersalah di mahkamah.

Tangan-tangan mereka kelihatan memberahikan, justeru ramai yang berpusu-pusu untuk menjabat lalu mengucupnya melebihi hormat pada tangan ibu bapa sendiri.

Di negara yang sangat kita cintai ini, pernah berlaku perlanggaran tren tetapi apa yang dipaparkan oleh pemimpin yang berkenaan hanyalah ‘jenaka gelap’ yang mengundang kecaman masyarakat.

Dalam keadaan begitu, bayangkan kalau ada kecelakaan akibat kerosakan jalan. Perkara pertama yang selalunya kita lakukan ialah menyemak dahulu sama ada laluan tersebut adalah jalan persekutuan, lebuh raya swasta atau jalan bandaran/bandar raya.

Kemudian kita kena tunggu laporan lengkap daripada para jurutera berkenaan. Lepas itu sampai berkali-kali hari raya pun, tidak akan ada permohonan maaf daripada mana-mana pihak.

Yang meriah hanyalah permainan menuding jari.

Ini bukan sahaja kerana birokrasi atau kelambatan semula jadi tenaga kerja penjawat awam. Ia berlaku kerana inilah budaya kita. Budaya mengelak daripada mengakui kesilapan, dan enggan memohon maaf.

Entah sejak bila budaya ini berkembang subur sehingga diterima menjadi norma sehari-hari, tidaklah dapat dipastikan.

Saya pernah bekerja berketuakan warga AS, Jerman, Jepun dan Malaysia. Yang paling lama ialah warga Jepun iaitu 20 tahun.

Menariknya, ketua warga Jepun itu, kalau ditakdirkan dia menyertai perkhidmatan awam di Malaysia, pastilah dia demam tidak kebah-kebah sehingga pencen gara-gara kejutan budaya yang dialaminya.

Yang agak menarik pula cara kerja ketua warga AS, kerana pagi-pagi dia akan bertanya: “Who got the monkey on your back/shoulder?” Makna harfiahnya: siapa ada beruk di atas tengkuk.

Ini adalah slaga urban yang meminta pengakuan tentang masalah dan halangan dihadapi pekerja untuk mencapai prestasi terbaik.

Kita tahu perangai beruk kalau duduk di tengkuk, pasti akan dikupilnya segala ketuat dan tahi lalat yang disangkanya kutu. Andainya ia dari jenis “beruk mak-yeh” pasti lebih sadis kesudahannya.

Mereka percaya bahawa untuk berjaya membunuh masalah (to be able to kill the problem), langkah pertama ialah mengakui bahawa masalah itu memang wujud.

Mereka percaya bahawa 50 peratus masalah selesai apabila masalah dapat dikenal pasti (dan diakui kewujudannya).

Seandainya warga AS terbabit berkhidmat sebagai ketua jabatan dalam perkhidmatan awam, barangkali akan ada saja 'beruk' itu bertenggek di tengkuknya setiap hari.

Demikianlah kita di negara Islam dan bekerja dengan pemikiran dunia ketiga, manakala warga dari Jepun - yang majoritinya tidak beragama - dan warga AS yang kita anggap musuh Islam hakiki, mereka bahkah bekerja dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama.

Agaknya ajaran siapakah yang kita jadikan budaya kerja?


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa, serta berminat hal-hal politik semasa. Dia ialah graduan Pengajian Bahasa Inggeris yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.