ULASAN | Adakah pasukan jihad tangani inflasi hanya tidur?
ULASAN | Kadar inflasi utama Malaysia naik lagi ke paras 4.4 peratus pada bulan Julai, dan ini adalah peningkatan empat bulan berturut-turut. Lebih parah, inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu 6.9 peratus, seperti dilaporkan oleh MIDF Research.
Harga barang makanan yang masih mahal menunjukkan Pasukan Jihad Inflasi gagal dan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Ogos lalu kononnya pasukan ini berjaya menurunkan harga barang adalah satu cakap politik semata-mata.
Keadaan ini membimbangkan kerana pakar-pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih perlahan dalam tempoh Julai-Disember 2022. Malahan, keadaan ini juga tidak akan banyak berubah dalam tahun hadapan.
Bagaimana rakyat mampu hadapi inflasi kalau ekonomi lembab? Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan rakyat terpaksa memotong perbelanjaan kerana dibebani isu kos sara hidup.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya hidup sekadar ‘alas perut’, dan ini jelas satu kegagalan kerajaan BN-Bersatu-PAS menguruskan ekonomi dengan baik.
Sudah genap dua bulan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bawah pimpinan Annuar Musa, di mana solusi atau pelan tindakan komprehensif untuk tangani inflasi? Pasukan Jihad Inflasi diingatkan supaya tidak ‘tidur’ lagi.
Ketika pentadbiran PH, inflasi makanan tidak pernah mencecah 6.9 peratus seperti sekarang ini. Kadar paling tinggi adalah 2.6 peratus, jauh lebih rendah dibandingkan kadar sekarang. Itu pun, kadar inflasi makanan direkodkan melebihi 2 peratus hanya untuk empat bulan sahaja sepanjang pemerintahan PH. Malah, kadar inflasi makanan paling rendah ketika zaman PH adalah 0.4 peratus sahaja.
Justeru, Annuar Musa harus menjelaskan apakah tindakan segera yang akan diperkenalkan, memandangkan inflasi makanan berada pada tahap tertinggi dalam sejarah. Sudah dua bulan bermesyuarat, namun tidak ada apa-apa langkah yang efektif diumumkan.
Oleh itu, kerajaan digesa meneliti dengan segera keperluan bantuan tunai khas atau “digital food voucher” untuk mengurangkan beban golongan B40 dan M40 yang dicadangkan sebelum ini bagi meringankan beban rakyat.
FAIZ FADZIL adalah Adun Permatang Pasir dan ahli jawatankuasa pimpinan Amanah Nasional
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai