Skip to main
Logo Malaysiakini

‘BN perlu menang besar PRU15, jangan sia-siakan pengorbanan Bossku’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adalah penting untuk Umno /B N menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang agar “pengorbanan” Najib Razak kepada parti itu tidak disia-siakan, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Selain itu, dia juga dilaporkan memberitahu media pada Selasa bahawa semangat 'Bossku' bekas perdana menteri itu perlu diteruskan dalam perjuangan oleh parti dan BN.

“Solidariti itu antara lain ialah kita bersama dalam susah dan senang, bersama dalam ceria dan duka. Dalam isu terkini, kita berdukacita terhadap apa yang berlaku kepada bekas presiden, bekas perdana menteri, penasihat BN, Najib Razak.

“Kita berdukacita kerana pada pandangan kita, beliau tidak diberi proses keadilan yang sewajarnya. Oleh itu, semangat ‘Bossku’ perlu diteruskan dalam perjuangan Umno / BN. Jangan kita sia-siakan pengorbanan beliau masuk dalam penjara.

“Maka, sebagai kaedah untuk kita tidak mensia-siakan pengorbanan beliau, adalah penting untuk kita memastikan Umno / BN menang besar pada PRU ke-15,” katanya yang dipetik sebagai berkata oleh portal Umno Online.

Ahmad bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Umno bahagian negeri Pahang di Kuantan.

Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam negara dari 2009 hingga 2018, telah dipenjarakan minggu lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadapnya berhubung kes SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu juga diperintahkan membayar denda RM210 juta.