Pemuda PAS tak mau calon PRU diumum lewat
MUKTAMAR PAS | Seorang perwakilan Pemuda PAS menyeru pemimpin parti memuktamadkan senarai calonnya terlebih awal, bukannya menunggu sehingga saat akhir bagi mengelak kesilapan lalu apabila mereka gagal menarik pengundi.
Perwakilan PAS Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham, berkata calon-calon itu mesti diperkenalkan segera kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Jika kita tidak menamakan calon segera, katanya, perlu ada sekurang-kurangnya okoh yang mesti mula bergerak sekarang.
Kelewatan menamakan calon awak, tambah Nurhaafizul, akan hanya mengulangi kegagalan PAS seperti dalam dua pilihan raya negeri (PRN) lalu.
"Jangan lagi dua tiga hari baru ada confirm (pengesahan) jadi calon, baru nak buat (akaun) Facebook, baru nak buat media sosial dia.
"Lepas habis pilihan raya yang like baru satu orang," katanya semasa membahaskan - dan menyokong - usul yang mahukan parti memilih 50 peratus calon mereka untuk PRU ke-15 ini dalam kalangan pemuda.
Usul itu dibawa perwakilan Bangi, Mohamad Firdaus Nor Fuza.
Kata Nurhafizul, semasa PRN Melaka, dia menjaga akaun media sosial calon PAS dan melihat bagaimana akaun Fecebook berkenaan tidak mendapat sambutan daripada pengundi.
Sementara itu, perwakilan Pendang, Saiful Syazwan Shafie, berkata PAS mesti menjawab persoalan sama ada anggota pemudanya yang berumur antara 20 dan 30 tahun bersedia untuk diletakkan sebagai calon atau tidak.
Pada masa sama, dia menegaskan, berlaku juga perebutan untuk menjadi calon dan ia memberi kesan negatif kepada PAS apabila ada antaranya yang ditolak pengundi.
"Kita pernah mencuba calon-calon pemuda, dan tuan-tuan ingat, berebut nak jadi calon sampai orang kampung sendiri tolak calon yang ditampilkan.
"Ini pengalaman yang kita ada - nak jadi calon, dan nak menyokong.
"Kadang-kadang jentera kita pun tak penuh (berfungsi). Ini semua adalah peringatan kepada sahabat semua," katanya.
Kira-kira 800 perwakilan Pemuda PAS dari seluruh negara berhimpun di sebuah hotel di Alor Setar untuk hari kedua muktamar Pemuda PAS kali ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai