Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno yang nak 'lipat' MN dalam laci, kata Mursyidul Am PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Ketika Umno berulang kali menyatakan pendirian mereka untuk bertanding secara solo pada PRU ke-15 nanti, PAS sebaliknya mengingatkan rakannya dalam Muafakat Nasional (MN) itu supaya merujuk kembali piagam perjanjian bersama.

Menyingkap kembali sejarah penubuhan MN, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang bersetuju agar kandungan perjanjian antara kedua-dua parti itu perlu merujuk al-Quran, sunnah dan hadis sekiranya berlaku sebarang perselisihan.

"Sekarang ini saya selalu bangkitkan: rujuklah, buka balik piagam... apa yang kita berselisih, keputusannya mesti ikut al-Quran dan sunnah.

"Tetapi kalau nak cari alasan hal remeh-temeh itu, kita tak rujuk perjanjian kita, sebab itu - walaupun Umno nak lipat perjanjian MN ke dalam laci - kita (PAS) kekal terbuka.

"Bukan sahaja dengan Umno, sesiapa saja sampai sekarang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS ke-61 di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.

Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keengganan Umno bekerjasama dengan Bersatu walaupun PAS kekal berusaha dengan agenda yang dinamakan mereka sebagai penyatuan ummah.

Mengulas lanjut Hashim berkata, walaupun jalan untuk perpaduan ummah itu masih jauh tapi PAS yakin dan nampak harapan untuk ia berjaya.

"Bagi PAS saya masih ingat lagi waktu sebelum perjanjian (MN) ditandatangani di PWTC, kebetulan Zahid datang ke Kedah dan kebetulan juga jumpa dengan PAS.

"Jumpa dalam keadaan santai, ada PAS cadang supaya perjanjian itu diakhiri dengan merujuk al-Quran dan sunnah jika berlaku perselisihan antara parti.

"Zahid bersetuju, dia kata 'bagus, bagus' dan ia dimasukkan dalam piagam itu," jelas Hashim.

Tambahnya dalam al-Quran ada menyatakan jika ada dua golongan mukmin bergaduh maka hendaklah damaikan kedua-duanya.

"Sekarang ini Umno dengan Bersatu berkelahi, kedua-duanya Islam. Kita buka pintu ajak, kita tak tutup tapi tak mahu juga, Umno tak mahu juga, kita tengok siapa yang tak mahu?

"Kumpulan mana dalam Umno tak mahu (berdamai), walaupun mereka pakai baju merah, bertempik dalam dewan betulkah itu caranya?

"Maknanya bukan semua antara pimpinan Umno tolak Bersatu dan PAS ke arah perpaduan ummah.

"Kami harap sebahagiannya (Umno) dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah," katanya merujuk hubungan Umno dan Bersatu.