PAS nak berunding dengan Umno hingga hari penamaan calon
MUKTAMAR PAS | PAS akan terus mengusahakan rundingan dengan Umno dalam usaha mereka "menyelamatkan negara daripada PH" (Pakatan Harapan) sehingga ke detik paling akhir.
Malah langkah tersebut dinilai Pemuda PAS sebagai "wajib" agar dilaksanakan.
Kata ketuanya Ahmad Fadhli Shaari, Muafakat Nasional tidak pernah mati dan tiada mana-mana pihak yang 'mentalkin' permuafakatan dimeterai Umno dan PAS itu.
"Kami di pihak PAS sentiasa sebut, rundingan untuk menyelamatkan negara daripada PH wajib untuk diteruskan.
"Mungkin akan ditanya: sampai bila? Jawapannya ialah sampai ke hari penamaan calon," katanya pada sidang media di akhir muktamar pergerakan itu di Alor Setar, Kedah hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai cadangan "kerusi MN" yang sebelum ini pernah dibangkitkan pemimpin PAS, Ahmad Fadhli berkata, rundingan juga akan diteruskan dengan Umno.
Katanya ia membabitkan antara 20 hingga 27 kerusi PH yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh Umno atau PAS jika kedua-dua parti tidak bertembung antara satu sama lain.
Tanpa persefahaman itu, katanya, kerusi tersebut akan dimenangi oleh PH.
Cuma, apabila ditanya secara khusus kerusi mana yang disasarkan itu, Ahmad Fadhli berkata: "Sudah tentu tidak di negeri yang tidak dimenangi PH. Contohnya di Terengganu dan Kelantan."
Untuk rekod pada 12 Ogos lalu anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki mencadangkan penubuhan "kerusi MN" bersama Umno selepas mendapati PH berpotensi besar memenangi PRU ke-15 nanti.
Dia yang dilantik menganggota badan utama PAS itu menjelaskan tanpa persefahaman tersebut peluang PH untuk menang menjadi lebih besar.
"Namun demikian usaha untuk menghalang PH menang tetap wajib diusahakan. Oleh yang demikian, ruang perlu diterokai dalam MN agar usaha itu dapat dilaksanakan.
"Di Semenanjung Malaysia, ada 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya Umno dan PAS bertembung," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai