Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS mahu Jakim lebih berpengaruh dalam Puspal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Dewan Ulama PAS menggesa agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberikan lebih suara dalam Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Ketuanya, Ahmad Yahya, berkata ketika ini keadaan adalah malang kerana penglibatan Jakim seolah-olah sekadar mencukupkan syarat khususnya dalam usaha mengekang ancaman gerakan lesbian, gay, biseksual dan transexual (LBGT).

"Kita sewajarnya peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.

"Penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat adalah bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran di negara.

"Apatah lagi dalam keadaan negara baru saja menempuh tempoh pemulihan pascapandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf," katanya.

Tambah Ahmad, negara juga berhadapan dengan realiti yang getir untuk mempertahankan usaha ‘menghalalkan’ LGBT susulan pengumuman untuk menerima amalan itu di negara serantau.

"Sistem perundangan semasa yang meletakkan amalan LGBT sebagai suatu kesalahan jenayah telah termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

"Begitu juga pelbagai peruntukan enakmen negeri yang perlu terus diperkasa," katanya.

Untuk rekod semakan menyatakan seksyen 377 itu merujuk kepada kesalahan persetubuhan luar tabii dengan haiwan, manakala kesalahan bagi persetubuhan luar tabii dinyatakan melalui seksyen 377A.

Ahmad berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama PAS ke-61, di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.

Sehubungan itu Ahmad berkata, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara serius khususnya menanggapi proses sexual grooming melalui media-media sosial.

Menurutnya anggota Dewan Negara itu, kerajaan perlu menambah baik dasar di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi terus mengekang budaya songsang berkenaan daripada terus menular dalam negara.

"Pelan tindakan ini perlu ditambah baik sejajar dengan perkembangan semasa bagi memastikan setiap ruang halus penyerapan masuk agenda LGBT dapat segera ditutup.

"Perkara ini termasuklah melalui rancangan-rancangan kartun kanak-kanak serta penstriman langsung seperti Netflix.

"Peranan Lembaga Penapisan Filem perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke negara," katanya yang juga pesuruhjaya PAS Kedah.