Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Pemuda PAS lulus usul kuota 30 peratus calon muda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68 hari ini meluluskan usul mencadangkan sebanyak 30 peratus calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) daripada parti itu terdiri daripada golongan muda.

Usul itu bagi memastikan lebih ramai calon muda diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum berkenaan selaras dengan pelaksanaan Undi18 iaitu pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas yang berkuat kuasa pada 15 Dis lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi penangguhan muktamar itu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ia adalah cabaran kepada DPPM dalam menyiapkan calon berkaliber serta boleh menang untuk bertanding dalam PRU15.

“Walaupun telah disebut Timbalan Presiden (PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) semalam dengan 30 peratus anak muda (calon), kita juga membuka perbahasan bagaimana kita melihat reaksi para perwakilan dan perwakilan menyambut baik,” katanya.

Semalam Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata parti itu akan memberi laluan kepada 30 peratus calon muda PAS untuk menghadapi PRU15, justeru barisan Pemuda mesti bersiap sedia dalam menampilkan kepimpinan mereka.

Meskipun terdapat cadangan supaya kuota calon muda ditambah kepada 50 peratus, Ahmad Fadhli berkata pihaknya tetap dengan ketetapan kuota 30 peratus itu kerana perkara lebih penting difokuskan ialah kemampuan golongan muda bertanding dalam PRU15.

“50 peratus itu tidak salah, soalnya sekarang sama ada Pemuda bersedia ataupun tidak. Letakkan bahawa kalau layak, 50 peratus pun boleh, kami melihat ia sebagai satu cabaran kepada kami untuk meletakkan (calon) berkaliber dan boleh menang dalam pilihan raya,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan Muktamar DPPM hari ini meluluskan tanpa bahas usul ketetapan parti itu untuk tidak akan mengadakan sebarang rundingan mahupun kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata PAS sentiasa memberikan teguran dalam bentuk bertukar pandangan kepada parti yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) menerusi mesyuarat bersama PN dengan mesyuarat dalam masa terdekat akan berlangsung pada 7 Sept.

- Bernama