Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS nafi hanya 'gasak' Umno, abaikan Bersatu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Pemimpin Pemuda hari ini menafikan mereka hanya menghalakan kritikan terhadap Umno dan mengabaikan Bersatu seperti tanggapan sesetengah pihak.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata jika ada sesuatu yang dianggap parti tidak wajar, Bersatu juga tidak terlepas daripada teguran mereka.

Malah, kata ahli parlimen Pasir Mas itu lagi, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sendiri tidak terlepas daripada kritikan PAS seperti yang dilakukannya dalam konvensyen Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Hal itu berlaku, katanya, selepas Muhyiddin menyatakan keinginannya untuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi BN dalam PRU akan datang.

"Untuk siapa lagi kita letak penegasan itu? (Tentulah) untuk mereka yang mengeluarkan kenyataan nak berundingan dengan PH," katanya dalam ucapan penggulungan muktamar pemuda di Alor Setar hari ini.

Untuk rekod pada 27 Ogos lalu Muhyiddin ada menggesa semua parti pembangkang - termasuk PH - agar mempertimbang rundingan dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU ke-15.

Muhyiddin menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Kata Muhyiddin, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

Ahmad Fadhli juga mengingatkan perwakilan dan pemerhati bagaimana ada tokoh Umno menggelar pemimpin PAS sebagai "tiga jahanam" termasuk presiden mereka, Abdul Hadi Awang.

Selepas diserang dengan gelaran begitu, katanya, Pemuda PAS tidak boleh berdiam diri saja sebaliknya bertindak balas.

Enggan hilang jati diri

Tanpa menamakan sesiapa, Ahmad Fadhli dipercayai merujuk kepada ucapan perwakilan Umno Kelantan dalam perhimpunan agung tahunan parti itu pada 19 Mac lalu.

Dalam ucapannya Zawawi Othman menganggap Abdul Hadi, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai "tiga jahanam" kerana dianggap “bermulut jahat.”

Sementara itu terdahulu Timbalan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, mengakui dalam PN ada "bermacam-macam perangai" yang didepani mereka.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

"Bersatu lahir dari parti asal mereka, Umno. Sudah tentu mereka terbiasa dengan budaya politik yang diamalkan selama ini. Kita tak boleh paksa mereka jadi PAS macam kita," katanya dalam ucapan penggulungan.

Apa yang boleh, kata setiausaha politik Sanusi itu lagi, ialah menegur Bersatu sambil menunjukkan contoh dan memimpin mereka ke arah yang lebih baik.

Langkah yang sama, katanya, diambil ke atas Umno.

"Kita berterusan memberi teguran - itu cara kita. Tak boleh kita bermuafakat yang akhirnya menghilangkan jati diri kita, menghilangkan visi, menghilangkan nilai-nilai asal kita," katanya.