Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Penyokong bukan Islam PAS fokus isu kebajikan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Sayap bukan Islam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan memberi tumpuan isu kebajikan dalam sebahagian usahanya ke arah meraih lebih banyak undi untuk parti itu pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Ketuanya, Senator N Balasubramaniam (gambar, bawah) tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai rancangan berterusan sayap itu, kecuali menegaskan tiada insiden perkauman di negeri pimpinan PAS.

"Kami dah faham bila PAS bawa dasar Islam, adil untuk semua, kami ambil contoh di Kelantan mana ada isu perkauman? Isu perkauman sikit pun tak ada di negeri kelantan.

"Kalau PAS perintah saya harap di negara Malaysia ini pun tak ada perkauman," katanya pada sidang akhbar ketika himpunan DHPP di Sungai Petani, Kedah, hari ini menjelang Muktamar PAS Pusat esok.

Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar Nik Abdullah, yang sebelum ini merasmikan muktamar sayap itu, turut berkias DHPP tidak boleh mendedahkan keseluruhan strateginya untuk memenangkan pengundi.

"Strategi mana boleh cerita dekat orang," katanya.

Balasubramaniam juga mengulangi bahawa sayap itu - dengan 62,768 ahli - menyasarkan tiga kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN untuk mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Dia berkata sayap itu sedang menyediakan calonnya, tertakluk kepada persetujuan pemimpin pusat PAS.

Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

"Sedia. Kita sudah buat permintaan pada PAS Pusat, tiga parlimen dan 12 Dun.

“Kita akan fokus dan tengok kalau ada yang sesuai, kami akan teruskan," kata Balasubramaniam yang bertanding di Bentong pada PRU14 dan tewas kepada calon PKR Wong Tack.

DHPP pada PRU14 meletakkan calon di tiga parlimen dan 18 kerusi DUN, dan Balasubramaniam sebelum ini berkata permintaan itu selepas mengambil kira pilihan raya negeri Johor dan Melaka yang lalu.