Skip to main
Logo Malaysiakini

Mohd Amar: Tak susah jadi PM jika ada wawasan, pasukan yang betul

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Seorang Naib Presiden PAS hari ini menggunakan perumpamaan menjadi perdana menteri sebagai pemilik rumah, mengatakan bahawa kedua-dua peranan itu tidak sukar untuk diteruskan dengan wawasan yang betul dan bantuan daripada pasukan yang berkebolehan.

Nik Mohd Amar Nik Abdullah juga merujuk kepada pentadbiran semasa tiga negeri pimpinan PAS - Kelantan, Terengganu dan Kedah - yang menurutnya masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri dan tiada pengalaman sebagai pemimpin sebelum ini.

"Ketiga-tiga mereka tiada pengalaman mentadbir sebelum ini. Mereka tak pernah jadi pegawai sebelum ini, tapi mereka menunjukkan dengan dasar yang betul, wawasan yang jelas, mereka boleh memerintah.

"Sebab ada orang kata PAS tak boleh memerintah Malaysia. Saya selalu kata sebenarnya tidak susah jadi perdana menteri. Perdana menteri umpama tuan rumah. Duit dia ada, tapi nak buat rumah dia buat sendiri ke? Mana ada orang buat rumah sendiri, dia akan panggil arkitek untuk design.

"Bila arkitek siap design seperti mana dia nak, dia akan panggil kontraktor, surveyor, engineer, bagi contract. Kontraktor pun sub saja. Akhirnya siap rumah dengan tuan rumah sendiri pun tak buat," katanya.

Dalam konteks PAS, kata timbalan menteri besar Kelantan itu, PAS mempunyai "wawasan terbaik" untuk Malaysia jika diberi peluang menerajui kerajaan pusat.

Dia berkata demikian dalam menggesa ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membantu menangkis persepsi yang didakwa negatif terhadap PAS dalam kalangan pengundi bukan Islam, termasuk di Kelantan.

'Lee Kuan Yew mungkin sertai DHPP'

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Amar mengimbas kembali lawatan tiga hari perdana menteri pertama Singapura mendiang Lee Kuan Yew ke Kelantan, di mana beliau kemudian bertemu menteri besar ketika itu, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd Amar berkata Lee telah membuat pemerhatian sendiri dan Nik Aziz pada masa itu memberi jaminan bahawa pendirian keseluruhan PAS terhadap Singapura dan etnik Cina - jika dipilih mentadbir kerajaan persekutuan - akan kekal seperti yang diamalkan secara harmoni di Kelantan.

“Dia (Lee) tak Lama, mungkin (kalau masih hidup) dia undi PAS, atau masuk DHPP," katanya dalam nada jenaka.

DHPP ditubuhkan pada 2010 sebagai tindak balas PAS terhadap pengaruhnya yang semakin meningkat di kalangan bukan Melayu.