MP tiada masalah subsidi bersasar, tapi persoal cara pelaksanaannya
Beberapa ahli parlimen tiada masalah dengan subsidi bersasar bagi minyak di Malaysia namun membangkitkan persoalan berhubung mekanisme pelaksanaannya.
Ia selepas nota penyelidikan oleh Maybank Investment Bank yang meramalkan ia mungkin akan dilaksanakan tahun depan.
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata walaupun secara prinsipnya subsidi bersasar adalah munasabah, persoalan timbul berkenaan sama ada ia akan dilaksanakan secara saksama atau tidak.
"Secara mudah, orang yang memandu Porsche tidak sepatutnya dapat subsidi minyak.
"Ini adalah projek yang kami laksanakan sebelum ia dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Langkah Sheraton.
"Namun persoalannya kekal berkenaan bagaimana mereka ingin melaksanakan sistem ini - adakah ia akan saksama? Adakah orang yang memandu Toyota Corolla berusia lapan tahun dapat menikmati subsidi atau tidak?
"Kedua, bagaimana dengan mekanismenya? Adakah ia akan merumitkan pemandu dan pemilik stesen minyak? Adakah prosesnya efisien? Adakah sasarannya akan menjadi berkesan atau tetap akan ada kebocoran?
"Ini adalah persoalan yang perlu dijawab Kementerian Kewangan," kata wakil rakyat dari DAP itu.
'M40 paling terkesan'
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang dari PKR Wong Chen berpandangan subsidi minyak bersasar akan membawa kepada peningkatan harga barangan ekoran peningkatan kos pengangkutan, yang seterusnya akan terus meningkatkan kadar inflasi.
Wong berkata golongan M40 akan menjadi kalangan yang paling terkesan dengan dasar ini.
"Namun saya fikir Kementerian Kewangan akan cuba menangani perkara ini mungkin dengan pemberian wang tunai kepada B40 untuk mengimbangi peningkatan kos sara hidup.
"B40 bukan golongan yang paling banyak menggunakan subsidi minyak, jadi pemberian wang tunai mungkin memadai untuk mengimbangi harga minyak yang naik," katanya kepada Malaysiakini.
Pada Rabu lalu, Maybank Investment Bank dilaporkan meramal subsidi minyak akan disemak semula tahun depan dengan RON95 dan diesel dijual dengan harga lebih tinggi.
"Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan.
"Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini,," kata badan itu dalam nota penyelidikannya seperti dipetik Berita Harian.
'Langkah progresif'
Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Shahril Hamdan pula tidak dapat mengesahkan jika dasar ini memang akan dilaksanakan tahun depan.
Namun, dia memberitahu Malaysiakni bahawa subsidi bersasar adalah langkah progresif yang disokong semua parti.
"Akhirnya ia akan perlu dilaksanakan kerana subsidi secara pukal memakan belanja besar dan akhirnya menguntungkan segmen yang tidak memerlukannya.
"Contohnya, kita tahu lebih 50 peratus subsidi petrol dinikmati oleh golongan T20.
"Dana yang dapat dijimatkan boleh dibelanjakan kembali kepada golongan yang memerlukan melalui kaedah lain, selain pelbagai program dan dasar pembangunan negara mampan bagi mendepani pelbagai cabaran pada masa kini," katanya yang juga ketua penerangan Umno.
Shahril berkata dia yakin kerajaan akan menyalurkan penjimatan dana selepas pelaksanaan dasar ini kepada kegiatan yang mampu melonjakkan ekonomi negara, seperti merancakkan ekonomi hijau dan penggunaan kenderaan elektrik.
"Konsep subsidi bersasar perlu dilihat dalam konteks lebih besar agar kita faham ia bukan semata-mata penjimatan, tetapi akan pergi kepada perkara yang produktif," katanya lagi.
Perkara itu disokong Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming yang percaya subsidi bersasar akan membolehkan kerajaan membuat perbelanjaan secara lebih progresif.
Namun, dia berkata peralihan ke subsidi bersasar mesti dilakukan secara berperingkat agar orang ramai dan pasaran dapat membuat penyesuaian.
"Misalnya, harga RON95 boleh dinaikkan 10 sen sebulan untuk beberapa bulan, berbanding terus naik 50 sen atau lebih ke arah harga pasaran.
"Bergantung kepada keadaan ekonomi global, mungkin ada keperluan untuk mengekalkan takat tertentu subsidi tetapi pada tahap lebih rendah berbanding sekarang," katanya.
Menguji mekanisme
Pada Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan mekanisme pelaksanaan subsidi minyak secara bersasar.
Ia selepas kajian oleh pelbagai pihak, termasuk Bank Negara Malaysia, yang menunjukkan bagi setiap RM1 petrol yang diisi, 53 sen melibatkan golongan T20.
Kata Zafrul, kerajaan membelanjakan RM71 bilion untuk subsidi pada tahun ini, dengan RM30 bilion daripadanya untuk subsidi minyak susulan peningkatan harga minyak mentah global.
RM15 bilion daripada subisidi itu dinikmati oleh golongan T20, katanya lagi.
Pada Ogos lalu, Zafrul memberi jaminan keputusan untuk melaksanakan subsidi bersasar hanya akan dibuat apabila keadaan ekonomi mengizinkan selepas kadar inflasi dapat dikawal.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai