Hadi tegaskan sumpah baiah lebih berkesan dari RUU antilompat parti
MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan pelaksanaan sumpah baiah yang diamalkan terhadap calon pilihan raya dari parti itu lebih berkesan berbanding rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang baru diperkenalkan.
Menurutnya walaupun sifat iman dan takwa terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa pun yang dapat mengatasi hukumnya.
"Perkara ini ditegaskan dalam perlembagaan PAS bahawa hukum Allah dan rasulnya adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada para pemimpin utama dan calon pilihan raya untuk melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.
"Langkah ini lebih berkesan daripada undang undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Turut hadir adalah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan Dominic Lau Chai.
Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti yang menggariskan tindakan terhadap ahli parlimen yang berbuat demikian.
RUU berkenaan antara lain menyatakan ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.
Untuk rekod PAS sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah.
Ia bagi menghalang wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain selepas menang dalam pilihan raya.
Sementara itu Abdul Hadi berkata PAS sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan baiah yang menurutnya lebih hebat daripada undang-undang yang "luput tarikhnya".
Malah tegas anggota parlimen Marang itu, wakil rakyat yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana kepanasan walaupun "berada dalam bilik berhawa dingin", atau dipecat ekoran masalah disiplin.
"Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong.
"PAS membuktikan pelaksanaan yang berkesan dapat dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan melalui beberapa kementerian
yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai