Wanita tempatan ditahan kes dera pembantu rumah
Seorang majikan wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia, di sebuah rumah di Batu Caves di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata penahanan suspek berusia 35 tahun pada Khamis lepas dilakukan selepas mangsa berjaya melarikan diri daripada rumah majikannya itu dan membuat laporan polis pada lima petang, sehari sebelum itu.
Zainal berkata pembantu rumah berusia 46 tahun itu mendakwa didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan tersebut mulai Oktober 2019 serta sering dipukul sejak itu.
“Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut oleh pegawai perubatan. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zainal berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan reman sehingga Isnin ini.
“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi kes ini dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek,” katanya.
Dia berkata sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 03-6126 2222 atau 013-3479809.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai