Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS Kedah, Selangor desak PN guna logo 'bulan' dalam PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Perwakilan Kedah dan Selangor hari ini menyuarakan harapan agar logo PAS diguna pakai untuk berdepan musuh-musuh politik mereka dalam PRU ke-15 nanti.

Perwakilan PAS Kedah, Helmi Wahab, berkata pihaknya mahu pimpinan utama PAS negeri itu supaya mengusulkan - dan merayu - agar perkara tersebut direalisasikan.

"Bagi kami, negeri Kedah hari ini tuan-tuan, dapat dilihat Kedah tersergam indah dengan kehijauannya.

"Saya mewakili perwakilan seluruh kedah, (berharap) agar PRU ke-15 juga dikibarkan bendera hijau bagi berhadapan dengan musuh-musuh parti PAS.

"Pastikan kibaran bendera dan pangkah hijau bulan," katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar presiden sempena di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.

Sehubungan itu Helmi berharap pimpinan utama PAS Kedah mengusahakan hasrat tersebut.

"Maka di atas (pentas) ada dua pimpinan utama PAS Kedah, bawalah dan rayulah suara Kedah ini, lambang PAS sebagai lambang dalam PRU ke-15," ujarnya.

Terdahulu perwakilan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan Lau Chin Chua mengusulkan agar logo PAS digunakan pada PRU ke-15 bagi negeri-negeri dikuasai mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kalau mahu jadi pendamai

Katanya pengekalan penggunaan logo tersebut perlu bagi mengelak berlaku kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Sebelum ini, sebagai parti komponen Perikatan Nasional, PAS menyertai beberapa pilihan raya negeri dengan mengetepikan lambang mereka dan bertanding menggunakan logo gabungan tersebut.

Bagaimanapun prestasi yang tidak memuaskan dipercayai mendorong banyak pihak dalam PAS mencadangkan agar logo asal mereka dipertaruhkan dalam PRU akan datang.

Malah Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, semalam secara terbuka mencadangkan agar PN memberi pertimbangan agar menggunakan lambang partinya untuk mendapatkan undi nanti.

Katanya, anggota PAS "alah" dengan warna biru yang digunakan PN kerana ia dianggap sinonim dengan BN.

Pagi tadi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin memberitahu isu penggunaan logo akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi gabungan berkenaan dalam mesyuarat mereka minggu depan.

Sementara itu wakil Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh, turut menyatakan hasrat sama agar mereka diizinkan menggunakan logo PAS.

"Perkara ini penting kerana jika PAS serius mahu menjadi pendamai, maka PAS perlu dilihat tidak memihak tetapi mesra kepada semua," katanya yang turut menyatakan sokongan pertandingan satu lawan satu berdepan PH.