Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno atau Bersatu? PAS pilih kedua-dua walau diperli - Idris

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan dalam soal kerjasama antara parti, PAS tetap dengan pendirian untuk berkerjasama dengan Bersatu dan Umno dalam PRU ke-15.

Naib presidennya Idris Ahmad menegaskan perkara itu di hadapan ribuan ahli dan penyokong yang berhimpun di Kompleks PAS Kedah sempena muktamar tahunan ke-68, malam tadi.

"Wartawan selalu tanya, (pilih) Umno atau Bersatu? Tak, kita pilih kedua-dua.

"Itu naratif kami, biar rakyat menilai, walaupun orang mencerca dan perli sekalipun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting. Kita tahu kalau berlaku perpecahan, keputusan yang kita sudah lihat pada PRU ke-14 yang lepas. Kita tak nak mengulanginya," kata ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PAS bagi PRU ke-15.

Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang bagi merasmikan acara berkenaan.

Pada majlis itu juga Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor turut mengetuai bacaan ikrar jentera PAS.

Sementara itu Idris berkata, PAS berpolitik dengan memikirkan masa depan generasi akan datang.

"Kita berpolitik memikirkan tentang masa depan kita, masa depan orang lain, masa depan cucu kita, bukan masa depan kita.

"Kalau kita duduk bercakap perebutan kuasa, jawatan dan kepentingan kita, apa akan jadi kepada generasi anak cucu kita?" tambah menteri hal ehwal agama itu.

Mesti menang tak kurang 40% kerusi

Sebagai rekod sepanjang muktamar berlangsung perwakilan turut membangkitkan soal kerjasama politik PAS dengan penegasan mahu mengekalkan Muafakat Nasional (MN) dengan dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.

Bagaimanapun Umno sebelum ini berkali-kali mengulangi keputusan untuk bergerak solo dalam PRU ke-15.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah pula menjelaskan betapa parti itu perlu fokus terhadap tiga perkara menjelang pilihan raya yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Katanya, pertama PAS perlu memastikan untuk mengekalkan kuasa mentadbir di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Kedua perlu memastikan kedudukan kita dalam kerajaan persekutuan kekal, kita tahu dalam tempoh setahun dua ini kali pertama kita kembali menjadi sebahagian kerajaan pusat di zaman moden ini. Jadi kena pastikan keberadaan di pusat terus kekal.

"Ketiga, menguatkan kedudukan kita dengan menambah jumlah kerusi-kerusi parlimen yang ada. Kena kerja bersungguh sungguh supaya jumlah kerusi meningkatkan. Mesti menang tidak kurang 40 kerusi parlimen. Ini keutamaan kita, kena pastikan (berjaya)," serunya.