'Kalau tuan-tuan rasa nak hentam, tuan-tuan hentam'
MUKTAMAR PAS | Ahli parti diberi lampu hijau oleh pemimpinnya untuk melancarkan serangan kepada mana-mana pihak yang menyasarkan mereka dan akan dibantu jika perlu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata semalam beberapa pemimpin Umno mengkritik Abdul Hadi Awang dengan kenyataan pedas.
Antaranya, kata ahli Dewan Negara itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
"Soalan: kita nak jawab atau tak perlu jawab?
"Menjawab atau tak jawab, ia perlukan kepada pertimbangan. Pertimbangan itu adalah seni, dan seni itu datang juga dengan maklumat," katanya semasa menggulung perbahasan pagi tadi.
Mengingatkan perwakilan bahawa Ahmad Zahid masih berdepan dengan perbicaraan mahkamah, dan bekas perdana menteri Najib Razak sedang dipenjara, Khairil Nizam berkata, dinamik politik Umno bergantung kepada proses mahkamah yang sedang berjalan.
"Sebab itu saya setuju dengan perwakilan Pasir Puteh semalam, kalau tuan-tuan rasa nak hentam, tuan-tuan hentam," katanya.
Khairil Nizam juga berkata, dia bersetuju dengan sikap ditunjukkan Pemuda PAS yang bertindak balas kepada mana-mana kecaman yang dihalakan kepada pemimpin atau parti mereka.
Dia juga menggalakkan mana-mana sayap parti untuk mengambil mod menyerang lawan dan langkah itu akan dipertahankan jika dirasakan ada keperluan berbuat demikian.
"Kalau Pemuda PAS Pusat nak tunjuk kejantanan mempertahankan parti, inilah waktunya - serang. Bab salah (atau) tak salah, kami back up.
"Begitu juga dengan Dewan Muslimat, silakan. Kalau nak jawab, teruskan. Kalau silap kita tegur, kalau tidak, jalan. Kalau perlu saya keluarkan kenyataan back up, saya akan buat," katanya.
Bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu juga memberitahu pihaknya diberi arahan oleh Abdul Hadi agar menukar posisi daripda bertahan kepada menyerang.
"Saya menyeru semua perwakilan dan di sini, kita mesti bawa mod ofensif. Serang DAP dan PH (Pakatan Harapan)," katanya.
Tambah Khairil Nizam, 'modal' terbaik yang ada pada PAS untuk menyerang lawan mereka ialah integriti yang tinggi pada parti mereka.
"Kita ambil pengajaran daripada ini, balik nanti, kami akan bagi semua data tentang kejahatan DAP, black economy dan lain-lain.
"Ambil data itu, gunalah dengan apa juga cara, pastikan rakyat tahu kejahatan PH dan sekutu mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai