Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib masuk hospital

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dimasukkan ke hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Perkara itu disahkan oleh salah seorang pegawainya.

Difahamkan keadaan Najib, 69 stabil dan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun punca ahli parlimen Pekan itu dimasukkan ke HKL masih tidak diketahui.

"Datuk Seri Najib masih dan sedang dirawat di HKL. Saya ingin berterima kasih kepada pihak penjara dan pihak HKL di atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan,” kata pegawai khasnya, Muhamad Mukhlis Maghribi.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Selain merupakan bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Di bawah pengawasan Najib, SRC International memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Syarikat itu sepatutnya melabur dalam sumber strategik, namun aktiviti pelaburannya sehingga kini tidak diketahui.

Najib mendakwa dia tidak mendapat perbicaraan yang adil dan menyalahkan pihak lain atas kehilangan dana SRC.

Selain kes SRC yang telah selesai di mahkamah, Najib kini sedang menghadapi perbicaraan berkaitan 1MDB.