Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker: Status Najib sebagai MP Pekan kekal buat masa ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Status Najib Razak sebagai ahli parlimen Pekan setakat ini kekal dan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan terhadapnya selesai, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Najib Razak di bawah Perkara 42 Persekutuan Perlembagaan pada 2 September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

“Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Najib Razak sebagai ahli parlimen Pekan pada masa in tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampuan itu dibereskan,” menurut Azhar dalam kenyataan hari ini.

Azhar mengesahkan bahawa dia menerima serahan beberapa dokumen berhubung permohonan pengampunan terhadap Najib. 

Antaranya salinan permohonan pengampunan bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada 1 Sept, salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co pada tarikh sama dan salinan perintah jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib bertarikh 23 Ogos. 

“Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan (PP), mana-mana ahli parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2000 akan hilang kelayakan sebagai seorang ahli parlimen.

“Kuat kuasa Perkara 48(1)(e) PP adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 48(4) PP dan Perkara 53(2) PP. 

“Dalam hal ini, Perkara 48(4)(c) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh ahli parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli parlimen berkenaan hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan (sekiranya petisyen ditolak),” katanya. 

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Dia menjalani hukuman 12 tahun pada hari yang sama.