Skip to main
Logo Malaysiakini

PD atau Tambun? Belum ada keputusan, kata Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belum ada keputusan buat Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi mana pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ditanya mengenai hal itu, ketua pembangan berkenaan berkata, sama ada dia akan meninggalkan kerusi parlimen Port Dickson untuk ke kawasan lain atau sebaliknya, akan diputuskan pada masa yang sesuai.

Buat masa ini, katanya, hal itu sedang dipertimbangkan.

"Saya sedang teliti... rakan-rakan di Port Dickson minta saya teruskan (di kerusi sekarang), (PKR) Tambun mengatakan mereka sudah bersiap sedia, dan beberapa kawasan lain (juga minta bertanding)," katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri suatu program di parlimen hari ini.

Anwar bermula sebagai ahli parlimen Permatang Pauh seawal 1982 dan berterusan di situ sehinggalah PRU 1999 sebelum berlaku episod penyingkirannya daripada Umno dan kerajaan.

Pada PRU ke-14 lalu Anwar tidak bertanding di mana-mana kawasan kerana menjalani hukuman penjara sehinggalah dia diberi pengampunan diraja ekoran kejayaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan.

Pada 12 Sept 2018, penyandang kerusi Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi membuka jalan kepada pilihan raya kecil (PRK) untuk Anwar bertanding.

Dalam PRK pada 13 Okt 2018 itu Anwar memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan enam calon lain dengan majoriti besar iaitu 23,560 undi.

Lima daripada individu yang menyertai PRK berkenaan merupakan calon bebas.

Selepas PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton pada 2020, ada beberapa permintaan daripada PKR agar Anwar bertanding di kawasan mereka.

Untuk rekod ketika ini kerusi parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, yang memenanginya atas kapasiti calon PH.

Ahmad Faizal menyertai gerakan Bersatu meninggalkan PH - sekali gus menjatuhkan kerajaan berkenaan - semasa Langkah Sheraton. Dia kini menyertai kabinet sebagai menteri belia dan sukan.

Ditanya bila pengumuman mengenai kerusi yang akan ditandinginya dibuat, Anwar memberitahu, ia tertakluk kepada bila PRU ke-15 bakal diadakan.

Mengenai tarikh PRU ke-15, Anwar berkata, ia belum dapat dipastikan.

"Tetapi dari segi PKR dan PH, kami memang bersedia untuk menghadapinya jika ia diadakan pada Nov ini," katanya.