Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis kritik kaktus jadi simbol banteras jenayah seksual kanak-kanak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun mendapat kritikan selepas memperkenalkan simbol kaktus dalam kempen membenteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainuddin berkata pemilihan simbol yang "keterlaluan" itu menunjukkan kementerian tidak tahu apa yang dilakukan dan tidak mendapatkan nasihat daripada pakar dalam bidang itu.

"Tiada sesiapa yang waras akan kata ya kepada perkara ini, dan jika mereka lakukannya, saya ingin tahu mengapa," katanya kepada Malaysiakini.

Rina minggu lalu melancarkan kempen menggunakan kaktus sebagai simbol "ketahanan" dan "kekuatan", dengan duri-duri yang ada pada pohon itu melambangkan bahawa masyarakat perlu melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

“Kaktus dipilih kerana survival, boleh hidup di mana-mana tempat, tetapi memerlukan penjagaan rapi, sinonim dengan kemenjadian kanak-kanak yang perlu dibelai dan diberi kasih sayang,” menurut bahan kempen berkenaan.

Lima pohon kaktus pada simbol itu juga melambangkan lima prisip Rukun Negara bagi menyemai sikap patriotik dalam diri kanak-kanak, selain melambangkan bahawa masyarakat termasuk ibu bapa perlu menyokong penerapan nilai-nilai murni.

Hartini, yang memperjuangkan isu dan hak kanak-kanak sejak puluhan tahun lalu berkata simbol yang sesuai dengan mudah boleh didapati menerusi carian Google.

Antaranya reben berbentuk hati, patung beruang dengan band-aid dan papan tanda bertulis "Hentikan penderaan kanak-kanak".

"Bukankah ini lebih sesuai jika anda melakukan intervensi (bukannya) kaktus lima pohon itu? Seriuslah?” Soalnya.

Simbol kaktus yang diperkenalkan kementerian itu juga dikongsikan di media sosial oleh bekas timbalan menteri wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh, beserta emoji yang menunjukkan kemusykilannya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Dian Lee juga menyifatkan pengenalan simbol itu sebagai "pembaziran kertas dan dakwat".

Menteri keliru

Hartini juga mempersoalkan keupayaan Rina selepas menteri itu dilihat tidak memahami isu pornografi kanak-kanak apabila mengatakan ia bermaksud kanak-kanak yang menonton pornografi ketika berucap melancarkan kempen itu semalam.

Kata hartini adalah "gila" apabila seorang menteri yang ditugaskan untuk melindungi kanak-kanak terkeliru antara kedua-dua isu tersebut.

Isu pertama merujuk kepada pornografi yang melibatkan kanak-kanak, manakala isu kedua adalah kanak-kanak yang menonton pornografi.

“KPWKM melihat trend ini sebagai perkembangan tidak sihat terutamanya melibatkan golongan vulnerable memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks yang akhirnya boleh membawa kepada perlakuan seksual yang lain,” kata Rina dipetik Bernama semalam.

[Baca berita penuh]