Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah yakin Agong pertahan prinsip bila pertimbang pengampunan Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amanah yakin Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mempertahankan prinsip keadilan ketika mempertimbangkan permohonan pengampunan diraja terhadap Najib Razak.

“Sehubungan dengan itu kami yakin, Tuanku Yang Dipertuan Agong akan mempertahankan prinsip ini dalam semua hal ketika membuat keputusan selaku Ketua Negara demi kepentingan rakyat dan negara ini,” kata naib presidennya Hasanuddin Mohd Yunus.

“Ia juga termasuk ketika mempertimbangkan rayuan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijatuhkan hukuman bersalah mencuri wang RM42 juta milik SRC International oleh sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan.”

Hasanuddin Mohd Yunus

Bernama melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa keadilan Islam tidak memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa pun yang melakukan kesalahan.

Semasa berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah Mahkamah Syariah mestilah bijak menggunakan budi bicara dan sentiasa adil kepada semua dalam menjatuhi hukuman, terutama yang melibatkan kes kekeluargaan.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 SRC International.

Najib Razak

Dia juga harus membayar denda RM210 juta.

Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September lalu. Statusnya sama ada akan kekal sebagai anggota parlimen Pekan bergantung kepada keputusan tersebut.