Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP gesa BNM tak naikkan lagi OPR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DAP menggesa agar Bank Negara Malaysia (BNM) Kadar Dasar Semalaman (OPR), susulan jangkaan ia akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps), iaitu daripada 2.25 peratus kepada 2.5 peratus, minggu ini.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata langkah BNM menaikkan OPR sebelum ini dilihat tidak berjaya menurunkan inflasi, dengan indeks harga pengguna meningkat daripada 3.4 peratus pada Jun kepada 4.4 peratus pada Julai.

Bekas menteri kewangan itu berkata, peningkatan kadar faedah tidak akan menurunkan inflasi kerana inflasi pada masa ini berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global, bukannya peningkatan dalam permintaan.

"Langkah menaikkan OPR juga akan menjadi tamparan oleh BNM kepada Annuar Musa, pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang mendakwa inflasi dan peningkatan harga barang kini semakin terkawal.

"Kenaikan OPR juga tidak membawa sebarang impak positif dalam menyokong mata wang ringgit dalam pasaran mata wang," kata Lim dalam kenyataan hari ini.


PANDUANKINI | Bagaimana kenaikan OPR beri kesan pada kita


Kata Lim lagi, kenaikan OPR tidak menangani inflasi dan kemerosotan nilai ringgit, sebaliknya memberi kesan buruk ke atas tahap sosioekonomi rakyat, pelaburan domestik dan pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19 yang sudah pun berdepan tekanan kenaikan harga barang.

"Menaikkan kadar faedah hanya akan menambah lagi kos pinjaman individu untuk rumah dan kenderaan, kos perniagaan, aliran tunai peniaga dan kos dana pelabur.

"BNM dan kerajaan seharusnya membantu perniagaan, bukan menjejaskan mereka, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang bergelut untuk bertahan dan menghidupkan semula perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi pascawabak yang mencabar," katanya lagi.

BNM mengekalkan kadar OPR sebanyak 1.75 peratus selama dua tahun sejak wabak Covid-19 mula menular. Kadar itu telah dinaikkan sebanyak dua kali sejak Mei lalu.