Skip to main
Logo Malaysiakini

PSB mungkin hantar Baru bertanding di Lawas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Sarawak Bersatu (PSB) mungkin meletakkan setiausaha agungnya yang baru dilantik, Baru Bian, untuk bertanding di Lawas dalam PRU akan datang.

Presiden PSB, Wong Soon Koh, bagaimanapun berkata keputusan tersebut hanya akan dibuat selepas Baru menentukan sama ada dia akan kekal bertanding di Selangau yang disandangnya sekarang atau tidak.

"Kalau Baru mahu mempertahankan kerusi Selangau, dia akan balik ke Selangau.

"Sebaliknya jika dia tak mahu mempertahankan Selangau, dia akan bertanding di Lawas kerana ia mempunyai dua kerusi DUN iaitu Ba'kelalan dan Bukit Sari," katanya yang dipetik Borneo Post di Sibu, semalam.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu Baru merampas kerusi Selangau daripada BN dengan kelebihan undi 486 undi.

Bagaimanapun Selangau berada jauh dari kubu kuat Baru di Ba'kelalan.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu Baru mempertahankan kerusi DUN Ba'kelalan dengan memperoleh 54.66 undi daripada 8,503 orang yang terlibat memilih.

Bagaimanapun, parlimen Lawas tidak akan menyediakan laluan mudah buat Baru kerana ia merupakan kubu kuat pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera, Awang Tengah Ali Hasan.

Wong Soon Koh

Awang Tengah merupakan Adun Bukit Sari selama lima penggal dan disebut-sebut pelapis partinya untuk menggantikan Abang Johari Abang Openg sebagai ketua menteri.

Sementara itu Wong berkata PSB sudah mengenal pasti tiga individu untuk dicalonkan dalam PRU akan datang iaitu Johnical Rayong untuk kerusi Lubok Antu, Wilson Entabang di Sri Aman dan Lawrence Lai di Miri.

Ketiga-tiga kerusi berkenaan kini diwakili wakil rakyat di luar parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi kerajaan negeri.

Johnical ialah ahli politik veteran dan menjadi Adun Engkilili sejak 2006. Wilson pula pesaing terapat untuk memenangi kerusi Simanggang dalam PRN Sarawak tahun lalu.

Wilson dibezakan hanya 175 undi dengan pemenang kerusi tersebut, Francis Harden Hollis dari GPS.

Lai ialah pula merupakan Datuk Bandar Miri dari 2010 hingga 2016.

Sebelum ini, PSB berkata mereka akan meletakkan 10 calon "atau kurang" untuk pilihan raya parlimen akan datang. Secara keseluruhan terdapat 31 kerusi parlimen di Sarawak.

[Baca berita asal]