Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga M’sia terbabit skandal rasuah tentera AS lari dari tahanan rumah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Seorang ahli perniagaan warga Malaysia yang terlibat dalam skandal rasuah besar membabitkan angkatan Tentera Laut AS melarikan diri dari tahanan di rumah, menjelang hukuman yang bakal dihadapinya lapor San Diego Union-Tribune pada Isnin.

Leonard Glenn Francis atau lebih dikenali sebagai “Fat Leonard” melarikan diri dengan memotong peranti pemantau elektronik di kakinya.

Dia memotong alat pemantau GPS di kakinya itu pada pagi Ahad dan polis ke rumahnya mendapati ia kosong, lapor akhbar itu yang memetik Timbalan Panglima Tentera Laut Omar Castillo.

Pendakwa raya berkata sebagai pertukaran kontrak, Francis memberi wang tunai kepada pegawai Tentera Laut, selain makanan gourmet, cerut mahal, cognac langka dan pesta seks liar di hotel mewah.

Reuters bagaimanapun tidak dapat menghubungi polis untuk mengesahkan tindakan melarikan diri itu.

Penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut turut serta dalam misi pencarian tersebut, menurut Union-Tribune.

“Apa yang pasti, dia telah rancang perkara ini,” kata Castillo.

Jiran-jiran juga melaporkan bahawa mereka mendapati trak yang keluar masuk dari rumahnya sejak beberapa hari kebelakangan ini, kata Castillo.

Leonard, yang telah bekerjasama dengan penyiasat AS, telah dilepaskan ekoran cuti sakit dan diletakkan di bawah tahanan rumah, sebelum dia sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September ini.

Pada 2015 Leonard mengaku bersalah merasuah pegawai tentera laut sebagai sebahagian daripada rancangan rasuah dan penipuan besar-besaran yang melibatkan syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia.

Syarikat itu memberi perkhidmatan kepada kapal Pacific Fleet Angkatan Tentera Laut AS.

Jabatan Kehakiman AS, yang meyifatkan rasuah tersebut sebagai penipuan besar-besaran, yang melibatan puluhan juta dolar dana angkatan Tentera Laut AS, telah mendakwa lebih daripada 30 individu, dengan kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan bersalah ketika dibicarakan.

-Reuters