Skip to main
Logo Malaysiakini

GTA hantar permohonan rasmi kepada ROS, pertahan agenda Melayu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini menghantar permohonannya untuk didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Gabungan itu berharap permohonan mereka akan diluluskan dalam tempoh 30 hari tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan.

Gabungan yang dipelopori Dr Mahathir Mohamad itu pada masa ini terdiri daripada Pejuang, Putra, parti serpihan PAS iaitu Berjasa dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Wakil yang bertemu dengan ROS hari ini antaranya Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Putra Ibrahim Ali, Presiden Berjasa Zamani Ibrahim dan Presiden Iman Mohammed Mosin Abdul Razak.

Dalam kenyataan yang dibacakan Setiausaha Agung Pejuang Marzuki Yahya, GTA akan diketuai Mahathir sebagai pengerusi, dengan presiden keempat-empat parti menjadi timbalan pengerusi.

GTA berhasrat untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen dan akan menggunakan logo sama jika permohonan mereka tidak diterima ROS.

Kali terakhir Berjasa menang dalam pilihan raya adalah pada 1990, sementara parti lain setakat ini kalah dan hilang deposit di setiap kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.

Kerjasama dalam PRU15

Bulan lalu, Mahathir berkata GTA tidak menolak untuk mengadakan perbincagan dengan Perikatan Nasional namun Marzuki hari ini membayangkan ia belum dilakukan.

Berkenaan kerjasama dengan PH pula, pengerusi gabungan itu Anwar Ibrahim semalam berkata kerjasama dengan GTA mungkin sukar ekoran "prinsip berbeza" dalam soal seperti rasuah dan hubungan kaum.

Bagaimanapun, Mukhriz mempertahankan agenda GTA dengan berkata mereka berhasrat membentuk sebuah kerajaan terhormat untuk menangani masalah yang dicetuskan ahli politik Melayu yang korup, dan pada masa sama mempertahankan hak orang bukan Melayu.

"Jika anda anggap berjuam untuk kaum kita, untuk Melayu, sebagai tidak berprinsip, saya tak tahu nak kata apa.

"Bagi kami, orang Melayu akan korbankan apa saja untuk negara ini, untuk melindungi semua kaum termasuk bukan Melayu," katanya.